KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang keputusan untuk menerima pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan diputuskan dalam mesyuarat parti.
Menurut Ketua Pembangkang, perkara itu harus dibawa ke meja perbincangan kerana sebelum ini pengerusi badan siasatan itu hanya disandang oleh wakil kerajaan dan tidak bukan kepada pembangkang.
“Saya akan mengadakan perundingan dengan rakan BN serta Pas kerana akan terdapat seramai empat orang akan dipilih untuk menduduki kedudukan dalam PAC.
“Oleh kerana saya hanya membaca kenyataan media tetapi tidak menerima sebarang surat rasmi maka saya akan mengambil tindakan setelah tatacara mengikut amalan Parlimen itu telah saya terima,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Ditanya sama ada beliau akan menerima pelantikan itu, Ahmad Zahid menjawab; “Saya sangat bertindak secara saksama dan oleh kerana Ketua Pembangkang bukan seorang yang terkenal sebagai autokratik, saya akan bincang dengan rakan dalam pihak pembangkang.
“Saya kena berlaku adil, dan akan bincang dengan mereka.
Nama Ahmad Zahid disebut-sebut untuk menyandang jawatan itu setelah Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mengesahkan PAC akan diketuai ahli parlimen mewakili pembangkang.
Lantikan itu termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan dimana manifestonya termasuk pelantikan seorang ahli parlimen pembangkang sebagai Pengerusi PAC. – MalaysiaGazette