Wan Azizah Wan Ismail
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (dua kiri) mendatangani plak perasmian sambil diperhatikan Pengerusi Kempen Memerangi Terhadap Kanser, Prof. Datuk Dr. Khalid Yusoff (dua kanan) pada Pelancaran Kempen Memerangi Terhadap Kanser Malaysia di Royale Chulan Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 26 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap langkah-langkah dan strategi untuk memerangi penyakit kanser menerusi Pelan Tindakan Kanser 2016-2020.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia merangkumi aktiviti yang telah dirancang di dalam pelan tersebut.

Menurut beliau, pencegahan kanser daripada segi pemberian pelalian, amalan gaya hidup sihat serta pengesanan awal kanser merupakan aspek yang akan terus diberi fokus utama.

“Sehingga Jun 2018, sebanyak 325,830 orang wanita telah menerima vaksinasi Human Papillomavirus (HPV) secara percuma melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melalui program khas yang dijalankan sejak tahun 2012.

“Program ini merupakan satu inisiatif dalam usaha untuk mencegah jangkitan HPV yang menyebabkan kanser servik dalam kalangan wanita.

“Kerajaan melalui agensi-agensinya akan terus giat menjayakan perjuangan ke arah membebaskan masyarakat daripada cengkaman penyakit kanser,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan kempen War On Cancer Malaysia, di sini hari ini.

Wan Azizah berkata, dalam menangani masalah tersebut Kementerian Kesihatan telah merangka Pelan Startegik Kebangsaan bagi Penyakit Tidak Berjangkit (NSP-NCD) 2016-2025 iaitu rangka kerja untuk mengukuhkan program pencegahan dan kawalan penyakit tidak berjangkit termasuk kanser.

Katanya, pelan startegik itu turut menjelaskan keperluan untuk menangani faktor-faktor risiko penyakit tidak berjangkit iaitu merokok, amalan pemakanan yang tidak sihat, kurang aktiviti fizikal dan penggunaan alkohol berlebihan.

“Walaupun pelbagai inisiatif telah dijalankan oleh kerajaan melalui pelbagai agensi kerajaan namun, statistik mengenai kanser terus meningkat.

“Ini tidak bererti apa yang dilakukan telah gagal atau tidak bermakna tidak memberi impak.

“Besar kemungkinan masalah yang disebabkan kanser akan jadi lebih besar dari apa yang kita lihat sekarang sekiranya usaha-usaha gigih tersebut tidak dilaksanakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette