SHAH ALAM – UMNO dan Barisan Nasional (BN) mula menyusun jadual ceramah yang padat sebagai langkah terakhir untuk mendapatkan sebanyak mungkin sokongan pengundi sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis.
Dengan dibantu tiga sayap utama parti, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Wanita dan Pergerakan Puteri UMNO, beberapa ceramah kelompok akan ‘memecah kesunyian’ kempen yang sudah masuk hari kesembilan hari ini.
Jawatankuasa Penerangan UMNO Pusat dengan kerjasama UMNO Negeri Selangor serta UMNO Bahagian Kota Raja akan mengadakan sekurang-kurangnya 10 ceramah termasuk anjuran tiga sayap parti di Pusat Daerah Mengundi (PDM) malam ini.
Menurut jurucakap UMNO Selangor, ceramah bermula serentak jam 9 malam di Seksyen 36, Jalan Melayu Kampung Sungai Kandis; Seksyen 32, Taman Seri Bayu; Taman Setia; dan pekarangan Surau Al-Muhajirin, Kampung Bukit Badak;
Manakala mantan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar terlibat dalam program ziarah rumah ke rumah, beramah mesra dengan anak muda di Taman Setia, Johan Setia serta makan malam dengan jentera PDM Johan Setia.
Kira-kira jam 8.40 malam, Khairy bersama jemaah dan kariah Taman Setia akan menunaikan solat Isyak berjemaah.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula turut mengadakan program berasingan malam ini iaitu busking dan santai anak muda di Taman Sri Menegun, Klang dan santai orang muda dan sesi teh tarik di pekarangan rumah Ketua Pemuda Cawangan Sungai Kandis.
Calon BN PRK DUN Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam dijangka memulakan program walkabout seperti biasa dengan menunaikan solat Asar bersama kariah di Masjid Al-Falah pada jam 4.30 petang diikuti walkabout di kedai Yazod, Jalan Kebun, solat Maghrib di Masjid Ar Rahimiah Sri Andalas dan menghadiri program futsal silaturahim di Arena 99 Jalan Sungai Jati jam 9 mlm. – MalaysiaGazette