JOHOR BAHRU – Kontroversi yang timbul semasa pemilihan peringkat cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini tidak akan mengakibatkan perpecahan termasuk mempengaruhi perjalanan Kongres Nasional PKR, di sini, pada 25 Mei ini.
Setiausaha Agung PKR, Senator Dr Fuziah Salleh percaya, perkara tersebut tidak akan berlaku dan kongres itu yang pertama kali diadakan di negeri ini dan merupakan terbesar dalam akan berjalan lancar.
“Saya buat jelajah seluruh negara sebagai persiapan pra kongres. Setakat ini semangat mereka (ahli dan perwakilan untuk hadir) bagus, tiada perpecahan dan kita akan pastikan ia (perpecahan) tidak berlaku.
“Apa yang saya lihat semangat mereka tinggi dan harap ia dibawa nanti pada kongres,” katanya mengulas sama ada isu-isu yang timbul semasa pemilihan PKR peringkat cabang sebelum ini menjejaskan perjalanan kongres parti tersebut kali ini.
Terdahulu beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melakukan lawatan kerja di Jelapang Emas Ventures Sdn Bhd, Jalan Kempas Lama, Kempas di sini hari ini.
Pemilihan peringkat cabang PKR sebelum ini dilanda kontroversi apabila beberapa pihak mengemukakan bantahan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) terhadap keputusan tersebut selepas tidak berpuas hati dan mendakwa berlaku ‘keanehan’.
Namun keputusan Pemilihan PKR 2025 bagi semua 220 Cabang di seluruh negara itu yang selesai baru-baru ini telah disahkan dan dimuktamadkan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Fuziah dilaporkan berkata, MPP yang bermesyuarat berpuas hati dengan pembentangan JPP dan juruaudit digital antarabangsa mengenai keputusan peringkat Ahli Jawatankuasa, Wanita, dan Angkatan Muda Keadilan di kesemua Cabang.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan perjalanan pemilihan PKR peringkat cabang sebelum ini semuanya mengikut peraturan dan standard antarabangsa.
Jelasnya, PKR Pusat melantik pihak ketiga iaitu juruaudit digital antarabangsa terlibat proses pemilihan tersebut untuk memastikan berjalan lancar dan sempurna.
Mengenai Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di sini, seramai 9,000 perwakilan akan mengundi secara fizikal manakala lebih 20,000 perwakilan akan mengundi secara dalam talian. – MalaysiaGazette