Fuziah Salleh
Fuziah Salleh

AMPANG – Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menegaskan akan bertanding jawatan Ketua Wanita Keadilan pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan berlangsung September depan.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas menerima desakan daripada ahli-ahli parti disemua peringkat.

Menurutnya, meskipun merasa keberatan untuk menerima tawaran bertanding jawatan yang pernah disandang sebelum ini, namun, disebabkan agenda perjuangan reformasi yang perlu diteruskan beliau terima cabaran itu.

“Saya percaya kepada satu pepatah Cina bahawa wanita boleh menjadi tongkat langit.

“Jawatan ini kalau diterima memang tak lena tidur. Bebannya sangat besar. Apa yang penting perjuangan reformasi harus dijunjung hingga mati,” katanya ketika berucap pada majlis memperkenalkan calon bagi pemilihan parti PKR di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, meskipun terdapat juga suara-suara yang bertanyakan mengapa beliau membuat keputusan itu, Fuziah berkata, matlamat untuk menegakkan perjuangan reformasi menjadi pembakar semangatnya.

Turut diumumkan pada majlis itu jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), timbalan-timbalan, naib-naib presiden dan timbalan presiden.

Pemilihan PKR kali ini menyaksikan pertama kali pengundian dibuat secara dalam talian menerusi e-voting bagi melancar dan mempercepatkan proses mengundi membabitkan lebih 800,000 anggota parti itu di seluruh negara.

Difahamkan, calon bagi jawatan presiden perlu membayar RM25,000, timbalan presiden (RM20,000), naib presiden (10,000) dan anggota Majlis Kepimpinan

Pusat (RM5,000) manakala di pwringkat sayap, jawatan ketua (RM10,000), timbalan ketua (RM7,000), naib ketua (RM5,000) dan anggota Majlis Kepimpinan (RM3,000). – MalaysiaGazette