SHAH ALAM – Pas Selangor tidak meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis kerana menyedari tidak ada penyokong yang kuat di kawasan itu.
Menurut Pesuruhjayanya, Sallehin Mukhyi, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu adalah kali pertama Pas menyertai pertandingan dan mendapat undi kurang 10,000 serta berada di tempat ketiga selepas calon PKR dan Barisan Nasional (BN).
“Justeru, berdasarkan keputusan itu, Pas memutuskan untuk tidak meletakkan calon dan memberi laluan kepada BN bertanding melawan calon PKR,” katanya ketika menyampaikan ceramah politik di Markas Pas Kawasan Kota Raja di Kampung Bukit Naga, dekat sini, malam tadi.
Turut hadir, calon BN, Datuk Lokman Noor Adam, yang kehadirannya mendapat tepukan gemuruh penyokong Pas yang mengikuti program ceramah itu.
Pada PRU14 yang lalu, Pakatan Harapan (PH) memenangi 51 kerusi, diikuti BN (empat) dan Pas (satu).
Sallehin turut menggesa pengundi yang juga penyokong Pas agar memberikan undi mereka kepada Lokman.
Katanya, pembangkang Selangor harus kuat dan ada suara lantang untuk menegur kerajaan PH. – MalaysiaGazette