Antara poster kempen Calon Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam yang terdapat di tepi jalan raya yang diarahkan turun oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sempena Pilihan Raya Kecil N. 49 Sungai Kandis ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Teluk Menegun, Klang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 30 JULAI 2018

SHAH ALAM – Calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis Datuk Lokman Noor Adam nekad tidak akan menurunkan poster walaupun diarahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menurunkannya.

Katanya, beliau telah diarahkan oleh SPR untuk menurunkan poster itu pada hari ini.

“Kita dah teliti Akta Pilihan Raya, tidak ada sebarang klausa di mana mereka boleh menurunkan ‘bunting’ kita.

“Saya akan lawan sekiranya diturunkan saya ada di situ saya akan tahan, kita akan pertahankan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sewaktu mengadakan walkabout di kawasan itu.

Difahamkan antara kain rentang yang diarahkan untuk diturunkan itu memaparkan perkataan ‘Dah mansuh GST 6 peratus, muncul pula cukai baru 16 peratus’, ‘Lokman Adam akan tanya pada PH kenapa hari-hari harga barang naik’ dan ‘Undi BN jika mahu kerajaan Pakatan tunai janji’.

Lokman menyifatkan bahawa alasan yang digunakan oleh pihak lawan bahawa mereka tidak selesa dengan alam kempennya itu adalah tidak wajar, sebaliknya ia kerana Pakatan Harapan bimbang dan takut undi akan beralih kepada BN.

“Nampaknya, ‘bunting-bunting’ kita pun mereka takut, padahal semuanya sopanlah tu,
tidak mengundang ketegangan kaum. Alasan membuatkan mereka tidak selesa,” tambahnya. – MalaysiaGazette