PUTRAJAYA – Lebih ramai pemain industri korporat digalakkan untuk tampil menyokong pembangunan industri E-Sports atau sukan elektronik di negara ini.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata,perkembangan sukan itu di negara ini tidak boleh dipandang remeh.
“Saya nampak Air Asia menaja pasukan pro mobile legend kita yang kini pertama di Asia Tenggara dan terkenal di serata Asia dalam sukan E-Sports.
“Ini sukan masa depan yang berpotensi besar dan pada tahun 2024 nanti sukan E-Sports ini akan dipertandingkan secara rasmi sebagai acara di Sukan Olimpik nanti.
“Maka kita kena ambil serius sukan ini dan perlu memberi kerjasama penuh untuk dibangunkan dan kita akan ketinggalan di belakang sekiranya tidak mengikuti rapat perkembangan itu,” katanya dalam sidang media hari ini.
KBS, kata Syed Saddiq, bekerjasama rapat dengan semua pihak pemain industri e-sports di negara ini dalam mencari kaedah terbaik untuk mengembangkannya di Malaysia.
Terdahulu, Ahli Parlimen Muar itu mengadakan pertemuan tertutup dengan enam pemain muda ESports Pasukan Air Asia Saiyan yang datang bertemu menteri berkenaan selama hampir sejam.
“Bayangkanlah, sukan ini berpotensi melahirkan pasaran pakar perisian baharu dan besar selain mampu membawa pulangan pelaburan berbilion ringgit dan itulah perkembangan di negara-negara yang jauh melangkah dalam sukan ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Saddiq juga menjelaskan, pihak pasukan Air Asia Saiyan sedang memikirkan untuk menyaman penganjur pertandingan mobile legend di Indonesia.
Jelas beliau, Pasukan Malaysia yang sepatutnya masuk ke separuh akhir bersama Indonesia dan Myanmar dinafikan tidak layak oleh penganjur.
“Malaysia dan juga pasukan lain menandatangani kontrak berlainan dengan Indonesia yang mana kita musykil berikutan wujudnya dua kontrak berbeza oleh penganjur sehingga Malaysia dinafikan kemaraannya ke separuh akhir oleh penganjur.
“Air Asia Saiyan keluar secara protes dari pertandingan itu dan mendapatkan kerjasama dengan Persekutuan persatuan E Sports Antarabangsa (IAEF) dan juga Persatuan E-Sports Indonesia untuk menyaman Revival TV selaku penganjur tersebut,” katanya.- MalaysiaGazette