Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda bercakap pada sidang media mengenai rayuan kepada kerajaan persekutuan untuk meneruskan Koperasi Kredit untuk kemudahan bantuan kewangan di kalangan penjawat awam di Wisma Ungku A.Aziz, Kelana Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 05 JUN 2018
Azih Muda

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan gesaan Kumpulan 25 supaya Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa melepaskan jawatannya sebagai tidak adil.

Pengerusinya, Datuk Azih Muda berkata, secara keseluruhan pencapaian kerajaan Malaysia berada di tahap yang baik hingga diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Adalah tidak adil untuk mengkritik KSN berdasarkan beberapa kes tertentu kerana pencapaian dan prestasi pentadbiran kerajaan berada dalam keadaan baik.

“Lagipun, pihak yang mengkritik berada di luar kerajaan,” katanya kepada MalaysiaGazette sambil meminta pihak-pihak luar tidak mengambil kesempatan untuk mempolitikkan kedudukan KSN.

Kumpulan 25 dalam kenyataannya hari ini menggesa Kumpulan 25 menggesa Ali melepaskan jawatan berikutan pelbagai kritikan berhubung perkhidmatan awam.

Kritikan itu turut dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini.

Kumpulan 25 percaya semua kritikan teruk dalam perkhidmatan awam itu sama ada yang datang daripada ketua politik atau orang awam, mencerminkan kepimpinan Ketua Setiausaha Negara dalam memastikan disiplin dan profesionalisme terutama di peringkat tertinggi ketua-ketua setiausaha.

Mengambil kira ketua-ketua setiausaha di bawah KSN, maka Ali mesti mengambil tanggungjawab untuk semua publisiti yang buruk yang telah ditanggung oleh perkhidmatan awam akibat salah laku mereka dan kegagalan beliau dalam memberikan contoh yang baik. – MalaysiaGazette