KUALA LUMPUR- Perodua meramalkan separuh kedua 2018 agak mencabar namun masih mengekalkan sasaran jualan sebanyak 209,000 unit menjelang akhir tahun ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata Perodua tetap mengekalkan sasaran pengeluara sebanyak 215,300 kenderaan pada 2018, naik 7.5 peratus berbanding 200,100 kenderaan yang dikeluarkan pada tahun lepas.
Setakat tahun ini, Perodua telah menjual 117,100 kenderaan untuk bulanbulan pertama, 17.5 peratus lebih tinggi berbanding 99,700 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lepas dan seterusnya mencatat rekod setengah tahun buat syarikat itu.
Dengan jumlah industri keseluruhan (TIV) sebanyak 289,700 unit bagi separuh pertama 2018, Perodua berjaya menguasai 40.4 peratus pasaran.
“Disebabkan peningkatan di bahagian jualan, Perodua juga telah menambah jumlah pengeluaran kenderaannya sebanyak 10 peratus kepada 109,000 unit (antara Januari dan Jun 2018) berbanding 99,000 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.
Kata Aminar rashid, pembelian Perodua daripada pembekal (vendor) untuk enam bulan pertama tahun ini berjumlah RM2.28 bilion, susut sedikit berbanding RM2.33 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas.
“Pengurangan tersebut adalah disebabkan penjimatan yang diperoleh daripada kadar pertukaran mata wang asing yang baik pada 1H18 walaupun jualan meningkat,” ujarnya.
Jumlah pendaftaran sebanyak 117,100 adalah terdiri daripada Myvi (46,860), Axia (33,870), Bezza (23,555) dan dan Alza (12,815), mengekalkan kedudukan teratas untuk kesemua empat model di dalam segmen masing-masing.
“Kami menyifatkan rekod jualan ini adalah berikutan permintaan yang tinggi buat Myvi baharu serta model kami yang lain pada suku pertama dan menjelang akhir suku tahun kedua kami menyaksikan peningkatan dalam jualan disebabkan oleh Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang berkadar sifar, “katanya.
Myvi baharu terus menjadi model Perodua yang paling popular sejak dilancarkan pada November 2017, dengan lebih daripada 65,000 telah berjaya didaftarkan daripada 115,000 tempahan yang dikumpulkan.-MalaysiaGazette