KLANG – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak tidak terpengaruh dengan penularan beberapa rakaman audio yang dikatakan suara beliau mengkritik timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tegasnya, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti dalam rakaman audio itu yang tersebar di aplikasi Whatsapp hari ini.
“Cara jawab tidak betul ‘suara saya’ saya tidak guna bahasa-bahasa kesat, barua bukan bahasa saya, jangan terpengaruh dengan fitnah,’ katanya kepada pemberita selepas program ceramah perdana sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, di sini malam ini.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas penularan rakaman audio itu yang dikatakan mirip suaranya mengkritik Mohamed Azmin dan Dr Mahathir berkenaan pelantikan anggota lembaga pengarah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), baru-baru ini.
Antara intipati rakaman itu ialah suara seorang individu didakwa Anwar yang mengakui mengarahkan Mohd Rafizi Ramli bertanding jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan parti bulan ini, kerana mendakwa Mohamed Azmin sudah menjadi ‘barua’ (orang suruhan) Dr Mahathir.
Jelas Anwar, beliau tidak pernah memberi sebarang kenyataan berhubung Khazanah kecuali berkenaan PRK DUN Sungai Kandis.
Menurut beliau, mana-mana pihak tidak bodoh untuk mempercayai penularan rakaman audio itu yang disifatkan sebagai satu perbuatan tidak sihat.
“Saya tidak memberi sebarang ucapan selepas Khazanah (lembaga pengarah) diumumkan kecuali di Sungai Kandis. Tiada ucapan, sebelum itu saya berada di Turki.
“Saya tidak fikir kita cukup bodoh untuk mudah tertipu tetapi kita hanya perlu menafikan kerana ia tidak benar…tiada asas dalam itu. Saya dengar juga (rakaman audio)’garang-garang saya, istilah barua tidak pernah pakai,” katanya.
— BERNAMA