Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pameran GRADUAN Aspire 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 JULAI 2018.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Cadangan rombakan persatuan belia secara menyeluruh bertujuan memastikan persatuan belia tidak lagi diterajui individu daripada mana-mana parti politik, sama ada pihak kerajaan mahupun pembangkang, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman.

Syed Saddiq dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata kementerian itu akan mengeluarkan pelan lengkap bagi merombak semula persatuan belia.

“Antara aspek yang akan ditekankan dalam pelan itu ialah belia bebas bersuara dan mengkritik mana-mana pihak dan tidak mempunyai ahli jawatankuasa tertinggi yang memegang jawatan dalam parti politik.

Persatuan juga perlu diterajui belia seperti mana yang digariskan dalam Dasar Belia Malaysia. Langkah-langkah penggubalan undang-undang sedang dilakukan agar pendefinisian semula had umur belia daripada 40 tahun ke 30 tahun dapat dikuatkuasakan,” katanya.

Syed Saddiq berkata cadangan beliau untuk proses neutralisasi persatuan belia sebelum ini turut dipertikaikan pelbagai pihak.-BERNAMA