Presiden Persatuan Pembekal dan Pengurusan Tenaga Kerja Asing Malaysia (TEKAM), Datuk Megat Fairouz Megat Junid (dua kiri) menunjukkan keratan akhbar berhubung isu lambakan pekerja asing pada sesi sidang media di Hotel EDC, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 04 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Persatuan Pembekal dan Pengurusan Tenaga Kerja Asing Malaysia (Tekam) menjelaskan hanya ahli-ahli persatuan berkenaan mendapat hak eksklusif sebagai majikan untuk membekal dan menguruskan pekerja warga asing ke negara ini.

Itu penjelasan Presiden Tekam, Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid dalam sidang media berhubung masalah dalam soal lambakan pekerja asing di negara ini.

Tekam tampil memberi penjelasan setelah pihak berkenaan selama ini dianggap punca kebanjiran pekerja warga asing di negara ini.

Dianggarkan lebih 4 juta pekerja warga asing di negara ini.

Menafikan perkara itu, Megat Fairouz berkata, Tekam diberi tanggungjawab melakukan pengambilan, pengurusan dan penghantaran balik pekerja asing mengikut peraturan yang ditetapkan KDN sejak mereka dilantik pada 2005.

Beliau menafikan isu lambakan pekerja warga asing berpunca daripada Tekam sedangkan pihaknya sudah tidak dibenarkan melakukan pengambilan pekerja asing oleh kerajaan sejak 2010 lagi.

“Mengikut statistik terkini, kami telah membawa masuk seramai 300,000 pekerja warga asing terutama dari Bangladesh, Nepal,Indonesia dan Filipina untuk bekerja dalam beberapa sektor yang diperlukan.

“Daripada jumlah ini, lebih 200,000 pekerja sudah dihantar pulang ke negara asal manakala lebih 20,000 hingga 30,000 telah melarikan diri ketika proses pemutihan 6P pada tahun 2010.

“Setakat ini yang berdaftar dibawah kami dan masih bekerja di sini ialah kira kira 5,000 orang pekerja asing sahaja.,” katanya.

Fairouz berkata, Tekam kini memiliki sebanyak 149 syarikat mewakili 149 ahli dibawahnya.

“Kami diberi tanggungjawab memantau 149 ahli dan syarikat di bawah Tekam namun kami masih tidak dibenarkan sama sekali untuk menguruskan kemasukan pekerja warga asing ke negara ini.

“Oleh itu saya berharap tidak ada pihak yang salah faham dengan Tekam berikutan pelbagai tohmahan yang tidak berasas yang dilemparkan selama ini,” tegas beliau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast