Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Mahkamah Sesyen bagi tiga lagi pertuduhan baharu di bawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram (AMLATFA) 2001 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 08 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya.

Bekas Perdana Menteri itu didakwa melakukan transaksi melalui Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities (RENTAS) di antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti salah itu atau RM5 juta atau yang mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Bagi pertuduhan pertama, Najib didakwa menerima wang berjumlah RM27 juta hasil daripada aktiviti haram melalui Real Time Electronic Transfer Of Fund and Securities (RENTAS) dalam akaunnya di AmIslamic Bank pada 26 Disember 2014 di AmIslamic Bank Berhad Bangunan Ambank Group No. 55 Jalan Raja Chulan.

Beliau didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaian Keganasan dan Hasil daripada aktiviti haram (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi.

Pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Bagi pertuduhan kedua pula, bekas Perdana Menteri itu didakwa menerima wang berjumlah RM5juta  daripada aktiviti haram melalui RENTAS ke dalam akaunnya di AmIslamic Bank, lebih kurang 26 Disember 2014 di AmIslamic Bank Berhad Bangunan Ambank Group No. 55 Jalan Raja Chulan.

Kesalahan itu di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaian Keganasan dan Hasil daripada aktiviti haram (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, Najib dituduh menerima wang berjumlah RM10 juta, hasil daripada aktiviti haram melalui RENTAS dalam akaunnya di AmIslamic Bank pada 10 Februari 2015 di AmIslamic Bank Berhad Bangunan Ambank Group No. 55 Jalan Raja Chulan.

Perbuatan itu didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaian Keganasan dan Hasil daripada aktiviti haram (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1), akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, Najib  mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan yang dibacakan dan minta kes pendakwaan ke atasnya dibicarakan.

Mohamad Hanafiah memohon kes pendakwaan itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi 3 kerana Najib turut berhadapan dengan empat pertuduhan lain sebelum ini.

Peguam bela, Tan Sri Shafee Abdullah menyokong kes berkenaan disatukan.

Hakim bersetuju agar kes pendakwaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi 3 dan tawaran jaminan akan dikemukakan di sana.- MalaysiaGazette