Motosikal yang ditunggang pelajar Tingkatan 5 terbabas ke dalam longkang menyebabkan dia cedera parah.

KUANTAN – Seorang pelajar lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas  di kilometer 198.6 Lebuhraya Pantai Timur 1 hala Timur, hari ini.

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa berusia 17 tahun meninggal dunia di lokasi nahas akibat cedera parah.

Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian datang dari arah Bera ke Kuantan.

”Apabila perjalanan sampai di tempat kejadian, motosikal yang bergerak lurus tiba-tiba dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri jalan,” katanya.

Tambah Wan Mohd Zahari, semakan polis mendapati mangsa mempunyai lapan rekod pelbagai jenis saman lampau.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi poses bedah siasat.

Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette