Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 09 OGOS 2018
Presiden PKR. Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pemimpin yang menyalahgunakan kuasa mereka untuk kepentingan peribadi atau agenda tertentu.

Anwar yang bakal menjawat jawatan Presiden PKR November ini berkata, pemimpin dalam parti itu tidak boleh menggunakan kedudukan mereka untuk ‘memujuk atau mengugut’ mana-mana ahli untuk meraih undi dalam pemilihan kelak.

Jelas Anwar, beliau telah memberi saranan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR untuk bertindak tegas dan bebas bagi memastikan prinsip serta asas parti sentiasa dipertahankan.

“Memang benar setakat ini belum ada sebarang laporan rasmi tentang sebarang salah laku atau penyewelengan kuasa dalam pemilihan parti namun kebimbangan itu sudah mula menular.

“Kini situasinya lain. Calon-calon perlu mengelak daripada menggunakan kedudukan seperti Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Menteri Besar ataupun Exco untuk memujuk mahupun mengugut ahli untuk mendapatkan undi. Calon perlu elak situasi seperti ini.

“Saya telah beritahu Pengarah JPP, Datuk Rashid Din dan barisan JPP untuk bersikap bebas dan tegas atau meletak jawatan sahaja.

“Bagaimanapun, saya sendiri selagi diberikan mandat untuk mengemudi parti ini yang berteraskan dengan keadilan untuk tidak bertolak ansur dengan mana-mana ahli yang bertindak demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square sebentar tadi yang turut dihadiri oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Rashid Din.

Anwar juga memberi amaran, beliau tidak akan menerima mana-mana pihak dalam parti itu yang bertindak membuat serangan peribadi atau melakukan cercaan terhadap ahli dan calon lain secara terbuka.

“Asas parti ini adalah menentang rasuah, penyewelengan kuasa, pembaziran dan keangkuhan kuasa.

“Saya tidak akan sesekali bertolak ansur dengan perkara seperti ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette