Aktivis Hak Asasi Manusia yang merupakan seorang Transgender, Nisha Ayub selepas membuat pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh di Pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kompleks Islam Putrajaya (KIP), Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 10 OGOS 2018
Aktivis Hak Asasi Manusia yang merupakan seorang Transgender, Nisha Ayub selepas membuat pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh di Pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kompleks Islam Putrajaya (KIP), Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 10 OGOS 2018

PUTRAJAYA – Aktivis sosial, Nisha Ayub yang merupakan seorang transgender mendedahkan beliau menerima banyak ugutan bunuh gara-gara isu kontroversi pihak berkuasa menurunkan gambarnya yang dipamerkan pada Festival Georgetown di Pulau Pinang.

Nisha yang sebak menceritakan pengalaman itu memberitahu, gambarnya telah dipamerkan pada festival itu tanpa kebenaran dan pengetahuannya.

Jelas beliau yang beragama Islam, hal itu hanya disedarinya selepas sebuah laman sosial memuatkan status tentang pameran itu dengan mengaitkan (tagged) nama akaun Facebooknya.

“Saya memang tidak tahu tentang pameran pada festival itu apatah lagi gambar saya dipaparkan di sana.

“Gambar yang penganjur pamer itu adalah gambar tahun lepas ketika sesi fotografi untuk kempen Hari Merdeka.

“Gara-gara isu gambar saya diturunkan dan menjadi kontroversi, saya menerima banyak ugutan bunuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa dan timbalannya, Fuziah Salleh di Kompleks Islam Putrajaya di sini petang tadi.

MGF10082018_NISHA AYUB JUMPA MENTERI_15
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa (tengah) diiringi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh (kiri) bersalaman dengan Aktivis Hak Asasi Manusia yang merupakan seorang Transgender, Nisha Ayub (kanan) selepas membuat pertemuan di Pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kompleks Islam Putrajaya (KIP), Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 10 OGOS 2018.

Mujahid sebelum ini mengarahkan gambar Nisha dan seorang lagi aktivis Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) Pang Khee Teik yang bergambar dengan bendera Malaysia turut dikeluarkan dari pameran Festival Georgetown.

Arahan itu selepas menerima aduan daripada orang awam serta tidak selari dengan dasar kerajaan.

Mengulas lanjut, Nisha berkata, beliau hanya memperjuangkan isu komuniti transgender di negara ini dalam menjalani kehidupan normal seperti masyarakat lain.

Jelasnya, komuniti transgender tidak pernah menuntut apa-apa hak selama ini namun mereka hanya meminta jangan mendiskriminasi golongan itu.

Katanya, masyarakat tidak wajar memandang hina kerana selama ini komuniti transgender berdepan masalah memasuki rumah ibadat, belajar di sekolah dan berada di tempat awam.

“Hari ini saya sangat emosi kerana seorang menteri sanggup duduk di sebelah saya dan mendengar luahan hati dan permasalahan transgender selama ini.

“Saya hanya berhubung secara pesanan di laman Facebook Datuk Mujahid dan tidak sangka beliau membalasnya dan sudi bertemu saya,” katanya yang juga Pengarah Projek di Yayasan Seed yang aktif membuat kerja-kerja amal dan kebajikan.

Sementara itu, Mujahid berkata, penganjur Festival Georgetown patut dipersalahkan kerana menggunakan gambar Nisha tanpa kebenaran.

Malah beliau memberitahu, Nisha juga bukan aktivis LGBT yang dipaparkan pada informasi pameran itu.

Pada masa sama, beliau menegaskan isu potret Nisha selesai dan kekal dikeluarkan pada pameran itu.

“Kementerian sentiasa ingin membantu golongan transgender untuk kembali menjalani kehidupan normal dan hanya tidak berkawan sesama mereka yang akhirnya akan membuat kembali ke lembah hina.

“Saya bercakap tentang transgender sahaja sebab mereka dikenali dari segi penampilan dan pakaian serta tidak seperti L (lesbian), G (gay) dan B (biseksual) yang tidak dapat dikesan.

“Jadi kami ingin membantu golongan transgender agar masyarakat tidak mendiskriminasi mereka sebalik memberi sokongan untuk berubah,” katanya.

Mujahid menambah pertemuan itu adalah langkah pertama untuk membantu golongan transgender dengan pelbagai perancangan akan dilaksanakan pada masa akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Tak payah la jadi trans. Kalau lawa tu satu hal gak, ini dah la hodoh, dilaknat Allah pulak tu.

Comments are closed.