KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya kerajaan, pakar perubatan dan ahli agama memperbetulkan definisi LGBT kepada dua kelompok berbeza.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (Srikandi), Datuk Norasyikin Abdul Ghani berkata, akronim LGBT perlu dipisahkan.
“Lesbian, gay dan biseksual (LGB) sebagai golongan hubungan sejenis dan satu kelompok lagi T untuk transgender.
“Ini kerana ia dua isu berbeza, di mana LGB isu berkaitan moral dan seks sejenis manakala transgender terdiri kepada tiga kategori iaitu khunsa nyata, khunsa tidak nyata (menerusi pengesahan pakar genetik) manakala kategori ketiga adalah menukar jantina dengan sengaja.
“Dengan pembetulan sedemikian, baharulah masyarakat tidak tersalah hukum kepada golongan khunsa yang wajib dibela dan mendapat hak sama tanpa diskriminasi manakala golongan LGB dan golongan ‘khunsa palsu’ ini wajar ditentang kerana bertentangan agama dan budaya negara ini,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.
Selain itu, Norasyikin juga membantah tindakan tatatertib yang didakwa dikenakan ke atas mana-mana pihak termasuk penjawat awam yang menyuarakan pandangan peribadi mengenai LGBT.
Selagi ia tiada unsur ancaman, fitnah, hasutan atau menyentuh Perlembagaan ia tidak wajar dikenakan tindakan.
“Tindakan berkenaan turut bertentangan dengan pendirian dasar kebebasan bersuara serta keterbukaan dan ketelusan yang diuar-uarkan Kerajaan Pakatan Harapan dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Dasar berkenaan memberi ruang dan peluang semua pihak menyatakan pandangan, menyebarkan fakta dan data, berani menangkis tohmahan serta fitnah tanpa rasa takut dan terhalang.
“Malah atas dasar itu juga, contohnya dalam isu penjawat awam menyuarakan secara terbuka mempersoalkan hak-hak yang dikatakan dituntut oleh golongan LGBT atas pengamatan, pengalamannya menerima dan merawat pesakit HIV daripada golongan itu,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, menurutnya, tidak wajar tindakan disiplin dikenakan ke asehingga memberi tanggapan buruk masyarakat kebebasan bersuara.
Beliau mengulas tindakan kepada seorang pegawai perubatan menulis surat terbuka mempersoalkan hak-hak yang dikatakan dituntut oleh golongan LGBT kepada aktivis masyarakat, Datin Marina Mahathir dikatakan sudah diadukan kepada Biro Pengaduan Awam.
Pelbagai sebelum ini tampil meminta Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bebas daripada tindakan tatatertib oleh pihak majikan iaitu Kementerian Kesihatan.
-MalaysiaGazette