Radzi Jidin
Dr Mohd Radzi Md. Jidin

KUALA LUMPUR – Umum mengetahui Pakatan Harapan (PH) telah menabur 10 janji pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu yang menyaksikan ‘gergasi’ Barisan Nasional (BN) berjaya ditumbangkan buat kali pertama sejak 61 tahun lalu.

Mengikut kalender, PH mempunyai baki 4 hari lagi bagi merealisasikan semua janji berkenaan kepada lebih 32 juta penduduk di negara ini.

Merujuk perkara itu, MalaysiaGazette mendekati seorang pemimpin muda daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, sekiranya 10 janji yang dinyatakan dalam manifesto PH pada PRU14 lalu tidak dapat ditunaikan, tidak bermakna kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir gagal.

Ujarnya, rakyat perlu lebih realistik kerana terdapat kekangan yang perlu diharungi oleh Putrajaya dalam memastikan segala janji itu ditunaikan.

“Kalau sampai 100 (hari) dan tidak boleh laksanakan itu, bukan maknanya kita gagal tetapi bila kita masuk baru kita tahu terlalu banyak tekanan yang ada. Kita tengok dari segi kewangan, apabila kita masuk baru kita tahu inilah kedudukannya.

“Bila kita tidak laksanakan (dalam 100 hari) bukan maknanya kita tidak perlu buat apa. Bukan macam itu, bila sampai 100 hari, yang mana tidak berjaya diselesaikan akan cuba diselesaikan secepat mungkin dalam tempoh yang realistik,” katanya dalam temubual bersama MalaysiaGazette di Parlimen baru-baru ini.

Untuk rekod, 4 daripada 10 janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum sudah boleh dikatakan ditunaikan oleh kepimpinan Dr Mahathir.

Antaranya, penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah pun dimansuhkan minggu lalu, menstabilkan harga petrol dengan memberikan subsidi RM3 bilion untuk mengekalkan harga RON95, menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang daripada RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.

Bagaimanapun ada lagi janji-janji seperti menghapuskan hutang tidak wajar peneroka Felda, skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah, meningkatkan gaji minimum, menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk 1MDB, Mara, Felda dan Tabung Haji, menubuhkan jawatankuasa khas Kabinet untuk Perjanijan Malaysia 1963, Skim Peduli Sihat, dan melancarkan kajian terperinci untuk projek mega yang dikelola syarikat bukan Malaysia masih dalam perancangan.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, kerajaan yang dipilih hari ini bukan bersandarkan kepada prinsip 100 hari pentadbiran, malah ia lebih kepada pentadbiran lima tahun mendatang yang pastinya segala janji akan ditunaikan oleh PH.

“Yang tidak berjaya akan diteruskan, itulah konteks 100 yang dijanjikan kerajaan. Kita jangan terlampau pasti bahawa 100 hari maknanya itu sahaja yang dilihat.

“Secara umumnnya, rakyat tidak begitu melihat kepada 100 hari sahaja. Ramai yang sudah realistik apabila melihat kita telah memulakan langkah berusaha tetapi kekangannya di luar kawalan kita menyebabkan kita tidak boleh bertindak dan melaksanakannya,” katanya. -MalaysiaGazette