Kementerian Pendidikan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan telah menyerahkan kes penderaan empat murid tadika swasta oleh dua orang gurunya di Melaka kepada polis untuk tindakan lanjut.

Kenyataan itu menyusul setelah kes yang berlaku di Tadika PPKK Seri Bijak Bestari 3, Taman Tasek Utama Ayer Keroh dirujuk kepada polis pada 11 Ogos lalu sebelum kedua-dua suspek ditahan pihak berkuasa keselamatan semalam.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah mengambil tindakan menarik balik permit mengajar kedua-dua guru berkenaan berkuatkuasa serta merta.

“KPM telah menjalankan siasatan awal di tadika swasta berkenaan dan mengambil tindakan untuk menarik balik permit mengajar bagi dua guru yang terlibat.

“Ini bagi memastikan mereka tidak lagi mempunyai sebarang interaksi dengan murid dan bertugas di tadika berkenaan.

“Pihak pengusaha turut diberi amaran keras berkaitan kecuaian dalam pengoperasian mengendalikan pendidikan kepada kanak-kanak dalam kohort umur 4+ dan 5+,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, KPM memandang serius kejadian penderaan murid di tadika swasta tersebut yang tular di media sosial serta dilaporkan media pada 13 Ogos lalu.

Insiden itu melibatkan dua orang guru yang didakwa bertindak kasar ke atas empat orang murid tadika swasta yang berdaftar dengan KPM itu.

“KPM mengarahkan JPN Melaka untuk memantau pengurusan dan pengoperasian tadika semasa sesi pembelajaran berlangsung.

“Pada 11 Ogos lalu kes ini telah dilaporkan kepada PDRM dan KPM menyerahkan sepenuhnya kes berkenaan kepada polis untuk mengambil tindakan lanjut ke atas guru-guru terbabit,” kata kenyataan tersebut. – MalaysiaGazette