KUALA LUMPUR – Seramai 50 warga asing termasuk ‘pengurus syarikat’ lelaki warga Bangladesh ditahan dalam serbuan di sebuah kilang menjahit pakaian di Cheras, di sini pada 11 Disember lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan yang dibuat susulan menerima aduan awam dan risikan dan mensyaki pengurus syarikat 46 tahun itu menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Serbuan itu dilakukan menerusi Ops Khas melibatkan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, bersama Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya pada jam 9.15 malam.
“Kita menahan seramai 34 lelaki warga Bangladesh dan 15 wanita warga Myanmar dipercayai sebagai pekerja tukang jahit di premis tersebut dan semua ditahan berusia dalam lingkungan 20 hingga 60 tahun.
“Pasukan operasi telah merampas sebanyak 40 keping kad perakam waktu dan peralatan menjahit malah semaka mendapati, syarikat ini telah beroperasi selama dua tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semua warg asing yang ditahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Mereka telah dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut manakala pengurus syarikat terbabit ditahan di bawah Seksyen 55B dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















