Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mencadangkan agar Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua ditugaskan untuk mencari jalan menghapuskan semua tol dalam usaha menepati janji yang terkandung pada manifesto PRU-14.

Bekas perdana menteri itu percaya Tony dan parti DAP bukanlah penipu bagi mendapatkan undi rakyat.

“Sekarang, saya juga pengguna jalan raya yang membayar tol. Oleh itu, saya juga turut gembira jika semua tol dihapuskan sebagaimana janji manifesto Pakatan Harapan.

“Apatah lagi, syarikat konsesi-konsesi tol berkenaan bukan kroni mahupun rakan-rakan saya tetapi mereka adalah dari era seorang perdana menteri sebelum saya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Najib, ketika beliau menjadi perdana menteri tidak pernah sekali pun kadar tol di mana-mana lebuhraya PLUS dinaikkan.

“Tetapi, harus diketahui bahawa kerajaan saya juga menghadapi kesukaran ketika itu untuk tidak membenarkan tol dimiliki pihak swasta dari menaikkan kadar tol kerana terikat dengan perjanjian konsesi yang dirunding dan dimeterai semasa Tun Dr Mahathir adalah Perdana Menteri ke-4,” ujarnya.

Najib berkata, beliau pernah mengumumkan untuk menghapuskan semua konsesi tol di negara ini kerajaan perlu menyediakan kos sebanyak RM231 bilion.

Bagaimanapun katanya, Tony telah menuduh kerajaan ketika itu sebagai penipu apabila menyatakan bahawa kos sebenar penghapusan tol hanyalah RM25 bilion sahaja dan bukan sebagaimana yang diumum kerajaan.

Semalam, Menteri Kerja Raya, Baru Bian memberitahu Parlimen bahawa adalah sangat sukar untuk menghapuskan semua tol seperti yang dijanjikan kerana kos untuk berbuat demikian ialah sebanyak RM400 bilion jauh lebih tinggi dari apa yang telah kerajaan BN umumkan dahulu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast