PHB
Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan Hartanah Bumiputera (PHB), Datuk Kamalul Arifin Othman bergambar kenangan bersama Duta Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), Noor Neelofa Mohd Noor (dua kiri) selepas selesai sidang media mengenai insentif baharu Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 15 OGOS 2018

KUALA LUMPUR- Pelaburan Hartanah Bhd. (PHB) sedang menyiapkan empat projek hartanah yang melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM1.5 bilion.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kamalul Arifin Othman berkata, projek-projek tersebut adalah pembinaan dua bangunan pejabat Gred A di Jalan Bangsar dan Jalan Conlay, Kuala Lumpur, sebuah hospital dengan 300 katil di Sungai Penchala yang juga merupakan hospital terbesar milik KPJ dan sebuah gedung beli-belah di Kuala Terengganu yang akan dipajakkan kepada rangkaian pusat membeli-belah dari Jepun, Sogo.

“Hospital di Sungai Penchala itu dijangka siap pada tahun depan manakala gedung membeli-belah di Kuala Terengganu pula akan siap dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Keempat-empat projek ini dibangunkan oleh kami dan setelah siap akan disuntik ke dalam dana Amanah Hartanah Bumiputera. (AHB),” katanya semasa sidang media Simpan, Labur dan Menang di sini hari ini.

Menurut Kamalul Arifin, PHB yang menguruskan RM4 bilion dana itu memiliki 19 aset buat masa ini dan bank tanah seluas 1000 ekar.

Jelasnya, PHB hanya membangunkan sendiri aset di tanah milik mereka sahaja manakala hartanah lain dimilik melalui pengambilan alih.

Menyentuh mengenai kedudukan dana tersebut ketika pasaran hartanah berada di dalam ketidaktentuan ketika ini, Kamalul Arifin berkata, PHB sudah bersedia dari awal dengan melakukan pelbagai diversifikasi dari segi aset bagi mengurangkan risiko dan sekaligus mengekalkan agihan pendapatan yang positif.

Sejak penubuhannya, AHB yang diuruskan oleh PHB mampu memberi agihan pendapatan setahun melebihi enam peratus selepas ditolak zakat.

“Kami sedar dengan risiko di dalam pelaburan hartanah dan disebabkan itu kami melabur di dalam semua sektor kerana mahu mempelbagaikan risiko.
“Setakat ini, kami mampu mengekalkan kadar penyewaan dan bersedia menghadapi sebarang cabaran,” katanya lagi.

Dalam pada itu, sebagai usaha untuk mempromosi dan meningkatkan pelaburan dalam AHB, syarikat pengurus dana itu melancarkan cabutan bertuah dengan menawarkan hadiah bernilai sehingga RM400,000.

Pemegang unit AHB yang mengekalkan baki minimum sekurang-kurangnya 1,000 unit (satu unit berharga RM1) selama enam bulan bermula 1 Oktober 2018 sehingga 31 Mac 2019 secara automatik berpeluang untuk menyertai cabutan bertuah berkenaan.

Proses cabutan akan ditadbir oleh sebuah syarikat bebas yang dilantik PHB dan Maybank Asset Management iaitu Dynamic Search Sdn. Bhd.- MalaysiaGazette