Lim Guan Eng dan Subromaniam Tholasy
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (kiri) bersama Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy pada sesi taklimat SST bersama Menteri Kewangan di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 18 OGOS 2018

SHAH ALAM – Jabatan Kastam Diraja Malaysia menerima sebanyak 77,451 telah didaftarkan di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) melalui sistem MySST sehingga 16 Ogos lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, pendaftaran perniagaan itu dibuat melalui pemindahan automatik dari sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (MyGST) yang dikemukakan melalui emel.

“Kami telah daftarkan 77, 451 perniagaan dalam sistem MySST hari ini secara automatik. Apabila kita buat pemindahan daripada data-data GST ke sistem MySST.

“Daripada jumlah itu sebanyak 32,577 merupakan pendaftar bagi cukai jualan dan 44,874 pula adalah bagi cukai perkhidmatan,” katanya pada sidang media selepas Sesi Taklimat SST bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Hotel Saujana Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Lim Guan Eng dan Subromaniam
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (kiri) bersama Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy pada sesi taklimat SST bersama Menteri Kewangan di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 18 OGOS 2018

Terdahulu beliau bersama Guan Eng memberikan taklimat cukai baharu yang bakal diluluskan minggu depan di hadapan 500 peniaga dan usahawan yang berdaftar dengan GST sebelum ini.

Subromaniam berkata, sejak pendaftaran SST itu dilancarkan pihaknya pada 16 Ogos lalu, pihaknya telah menerima sebanyak 226 pendaftaran baharu daripada peniaga.

“Pendaftaran ini adalah permohonan baharu yang bukan dari pemindahan automatik,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menafikan terdapat kesilapan pendaftaran apabila ada syarikat yang tidak sepatutnya berdaftar tetapi telah didaftarkan di bawah SST.

“Keadaan ini berlaku mungkin kerana peniaga telah melakukan kesilapan semasa mengisi MSIC Code pada borang GST.

“Sekiranya perkara ini berlaku, peniaga perlu memohon secara bertulis dan kemukakan kepada stesen mengawal untuk membatalkan pendaftaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette