Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) menyaksikan Majlis Perjanjian Persefahaman antara Pengerusi Proton Holdings Bhd Datuk Seri Syed Faisal Albar (dua,kiri) dengan Presiden Kumpulan Zhejiang Geely Holding An Conghui (dua,kanan) ketika melawat Ibu Pejabat Geely hari ini.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) menyaksikan Majlis Perjanjian Persefahaman antara Pengerusi Proton Holdings Bhd Datuk Seri Syed Faisal Albar (dua,kiri) dengan Presiden Kumpulan Zhejiang Geely Holding An Conghui (dua,kanan) ketika melawat Ibu Pejabat Geely hari ini. - BERNAMA

KUALA LUMPUR – Proton Holdings Bhd dan Zhejiang Geely Holding Group hari ini menandatangani Perjanjian Dasar Induk bagi mewujudkan usaha sama yang akan membuka ruang kepada Proton untuk memasang dan memasarkan kereta di China.

Kedua-dua syarikat menguasai ekutiti sama banyak dalam syarikat usaha sama yang belum diberikan nama itu, dan menetapkan sasaran untuk penggabungan usaha sama berkenaan dalam tempoh separuh pertama 2019, tertakluk kepada kelulusan kawal selia.

Dalam satu kenyataan hari ini, DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) berkata usaha sama itu termasuk pembukaan kemudahan pengeluaran di China yang akan memasang kenderaan, selain pembangunan rangkaian peniaga untuk memasarkan barisan kereta Proton di China.

Portfolio kereta untuk China sebagian besar akan menggunakan platform Geely sedia ada, manakala Proton terlibat dalam reka bentuk luaran kenderaan.

Perjanjian itu juga menawarkan platform sedia ada Proton untuk membangunkan model untuk pasaran China.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata kemasukan Geely sebagai rakan strategik kepada Proton telah membuka laluan mudah untuk Proton memasuki ke pasaran China yang menguntungkan.

“Jelas menerusi Geely, laluan Proton ke China lebih mudah. Sebahagian daripada peranan Geely adalah untuk mendapatkan lesen perkilangan dan kelulusan pengawalseliaan yang diperlukan untuk usaha sedemikian mengikut peraturan China.

“Geely juga akan mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk menempatkan operasi kemudahan pembuatan,” kata Syed Faisal.

Beliau berkata vendor komponen Proton sedia ada yang mempunyai kualiti dan kelebihan daya saing akan dipertimbang sebagai pembekal untuk syarikat usaha sama itu.

“Ini baik  bagi Kerajaan Malaysia yang sentiasa menggalakkan pembuat komponen Malaysia menceburi pasaran China.

“Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad sebelum ini bercakap mengenai kurangnya eksport kereta Malaysia ke pasaran serantau, walaupun jenama Jepun, Korea dan China memasuki pasaran Malaysia,” katanya.

Jualan kereta penumpang China telah berkembang pesat dalam tempoh 10 tahun yang leaps, kepada lebih 24 juta unit yang dijual pada 2017, berbanding 6.76 juta kereta penumpang yang dijual pada 2008.

Geely, syarikat pembuat kereta milik persendirian pertama China, menjual lebih 1.0 juta unit dalam negeri, menjual lebih 1.24 juta unit tahun lepas, atau penguasaan pasaran sebanyak 5.06 peratus.

Dalam tempoh enam bulan pertama 2018, Geely menjual lebih 125,000 unit model sebulan, dengan Boyue SUV melepasi paras 20,000 setiap bulan kecuali pada bulan Januari, dengan lebih 30,000 SUV Boyue dijual.

Versi SUV tempatan itu akan dilancarkan di Malaysia pada suku terakhir 2018 sebagai SUV pertama Proton.

—  BERNAMA