SHAH ALAM – Keputusan kerajaan untuk membatalkan Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) adalah wajar kerana ia menelan kos yang terlalu tinggi dan membabitkan perjanjian berat sebelah, kata Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad.
Beliau berkata keputusan pembatalan itu dibuat oleh kerajaan menerusi hasil perbincangan semua pihak demi menjaga kepentingan negara.
“Ia adalah hasil perbincangan, bukannya kita (kerajaan) tidak mahu buat (ECRL) tetapi kosnya terlalu tinggi, kita juga perlu melihat sama ada apa yang dirunding oleh Najib (bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) sebelum ini adalah benar-benar menguntungkan negara atau tidak.
“Banyak yang sudah didedahkan bahawa ia (perjanjian ECRL) memang berat sebelah, jika dapat persetujuan daripada China untuk dirundingkan semula demi kebaikan negara kita, Alhamdulilah,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Korban Perdana Parlimen Shah Alam di Masjid Riadhussolihin Seksyen 17 di sini, hari ini.
Pada program tahunan itu, sebanyak 14 ekor lembu dan tiga ekor kambing diagihkan kepada kariah di kawasan berkenaan untuk ibadah korban.
Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan memutuskan untuk membatalkan pelaksanaan ECRL dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) buat masa ini dan pembatalannya difahami oleh kerajaan China.
ECRL, projek bernilai RM81 bilion sejauh 688 kilometer yang menghubungkan Pelabuhan Klang dan Kota Bharu, dilancarkan pada tahun lepas dan dijadualkan siap pada 2024.
Pelaksanaan projek berkenaan digantung sejak Julai lepas.
Dr Mahathir sebelum ini berkata syarat sedia ada projek yang dijalankan oleh kerajaan terdahulu itu tidak baik, antara lain, wang dibayar tanpa mengira kemajuan pembinaan.
Pentadbiran kerajaan baharu turut mengesan syarat kontrak yang diberikan kepada syarikat China, termasuk mengimport bahan dan pekerja dari China, sekali gus rakyat Malaysia tidak memperoleh manfaatnya.
Sementara itu, semasa diminta mengulas isu penjualan 64 lot tanah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tanpa tender terbuka, Khalid berkata cadangan oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi meneliti isu itu akan diserahkan kepada Dr Mahathir.
— BERNAMA