Harga gula mulai turun pada 1 September ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih belum berbincang dengan industri yang terlibat dengan pengeluaran gula bagi penetapan harga baharu.

Sumber memberitahu, setakat ini industri hanya mengikuti perkembangan melalui media sahaja.

Menurut sumber itu, sebarang keputusan berhubung penetapan harga runcit gula memerlukan kajian mendalam memandangkan ia membabitkan banyak faktor.

Ia terutama pembelian gula mentah yang menggunakan mata wang dolar dan turun naik pasaran gula mentah.

“Industri membeli gula mentah dari Thailand, Brazil dan Australia dengan menggunakan mata wang dolar.

“Dulu kita beli pada harga antara RM3.80/RM3.89 berbanding dolar. Sekarang nilai mata wang kita lebih RM4

“Dalam keadaan sekarang, ditambah dengan faktor luar termasuk sekatan ke atas Iran, perang perdagangan China-Amerika Syarikat memang sukar dijangkakan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Baru-baru ini Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata, kerajaan komited mencari langkah terbaik mengurangkan harga gula.

Menteri Kewangan pula berkata, kerajaan sedang menjalankan kajian menyeluruh ke atas masalah struktur disebabkan oleh kuasa monopoli yang menyumbang kepada masalah kenaikan harga barang keperluan, termasuk gula.

Lim Guan Eng berkata, harga runcit gula di peringkat antarabangsa hanya RM1.40 (satu kilogram) tetapi harga di Malaysia sebanyak RM2.90 (sekilogram).

Harga runcit semasa gula pasir ialah RM2.95 dan gula putih halus RM3.05 sekilogram.

Penetapan harga gula itu diseragamkan di seluruh negara sejak 1 Mac 2017.

Harga gula dunia kini merekodkan paras terendah satu dekad dan diramal terus merosot lagi kerana rekod pengeluaran meningkat.

Niaga hadapan gula mentah yang didagangkan 10.1 bagi setiap paun di pada bursa niaga hadapan ACE Amerika Syarikat pada Isnin lalu – penutup terendah bagi kontrak hadapan sejak 10 Jun 2008.

Setakat ini, harga gula telah susut lebih daripada 32 peratus, penurunan terbesar dalam komoditi-komoditi utama.

Dunia telah mengalami lebihan bekalan sejak setahun setengah yang lalu,” kata Sal Gilbertie, Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan di Teucrium Trading.

Tahun ini, pengeluar gula terbesar dunia, India dan Thailand telah menghasilkan pengeluaran yang tinggi.

Sumber berkata, harga runcit gula di Malaysia sepatutnya tidak menjadi isu kerana paling rendah dalam kalangan negara ASEAN.

Katanya, harga gula di Indonesia adalah RM3.58 sekilogram, Singapura RM4.65 sekilogram dan , Vietnam RM4.41 sekilogram.

Jelasnya, sebelum sebarang keputusan dibuat sewajarnya kerajaan mengambil kira aspek kos, operasi kilang penapis, logistik serta margin industri.

“Industri tahu kerajaan berusaha untuk mengurangkan kos sara hidup tetapi pada masa sama aspek-aspek perniagaan juga perlu diambil kira.

“Ini kerana industri juga ada tanggungjawab dalam menanggung kos-kos perniagaan,” kata sumber itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast