Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa menafikan telah mengeluarkan arahan perpindahan pendakwah, Zamihan Mat Zin dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Dr Mujahid Yusuf Rawa

SEPANG – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa menafikan telah mengeluarkan arahan perpindahan pendakwah, Zamihan Mat Zin dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Saya tidak tahu kerana tiada arahan sebegitu daripada saya… itu adalah urusan antara kementerian,” katanya kepada media sebaik tiba di KLIA selepas pulang mengerjakan haji di sini hari ini.

Pada Khamis lepas, Zamihan mendakwa selepas Mujahid dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri dan mengetuai Jakim, beliau diarah pindah dari KDN ke Jakim dalam masa 24 jam.

Zamihan juga menyangkal dakwaan bahawa KDN menamatkan kontrak beliau sebagai pegawai deradikalisasi di kementerian itu.

Zamihan berkata beliau tidak pernah dimaklumkan perkara itu, selain menegaskan akan mematuhi terma kontrak sebagai pegawai berkenaan yang dipersetujui selama dua tahun dan tamat pada Jun 2019.

Beliau  dipindahkan dari KDN ke Jakim pada Jun lepas.

— BERNAMA