Ideas
Peguam Negara, Tommy Thomas (kanan) bercakap pada Program IDEAS -LSEASM ‘The status of institutional Reformasi selepas 100 hari di Ballroom, Royal Selangor Club, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 OGOS 2018

KUALA LUMPUR- Peguam Negara, Tommy Thomas hairan apabila banyak pihak terlalu prihatin mengenai janji manifesto 100 hari yang dibuat oleh Pakatan Harapan semasa kempen pilihanraya umum ke-14 yang lalu.

Katanya, sepanjang pemerhatiannya sejak tujuh atau lapan pilihan raya umum sebelum ini, tiada siapa yang peduli mengenai prestasi kerajaan dalam tempoh 100 hari kerana mustahil sesebuah kerajaan mampu melakukan reformasi besar-besaran dalam tempoh kira-kira tiga bulan sahaja.

“Masalah yang dialami oleh institusi-institusi di negara ini sangat besar dan reformasi yang perlu dilakukan juga terlalu besar.

“Mustahil kerajaan mampu melakukannya dalam 100 hari, nasib baik manifesto bukan dokumen agama atau satu dokumen politik yang diikat dengan undang-undang.

“Selama saya memerhatikan pilihan raya umum mungkin tujuh atau lapan edisi yang lalu, saya tidak ingat ada sesiapa yang begitu prihatin dengan manifesto kerana mandat yang diberikan kepada setiap kerajaan selepas pilihan raya adalah lima tahun.

“Rakyat perlu faham apa yang kerajaan sedang lakukan, jangan letakkan harapan terlalu tinggi,” katanya ketika menjadi salah seorang panelis dalam forum “Status Reformasi Institusi selepas 100 hari Pakatan Harapan,” anjuran Ideas dan alumni London School Economics and Political Studies (LSE) di sini hari ini.

Bagaimanapun, pendapat Tommy itu disanggah oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming yang berpendapat, semua pihak perlu “membuat bising” sehingga kerajaan berjaya menunaikan kesemua janji-janji pilihan raya mereka.

Beliau yang juga pakar strategi DAP berkata, walaupun manifesto bukan dokumen agama (yang wajib dipatuhi), mahupun sebuah dokumen politik yang diikat dengan undang-undang, ianya masih perlu dihormati dan ditunaikan demi memenuhi janji kepada pengundi.

“Memang kami mempunyai tempoh selama lima tahun untuk dinilai tetapi sekiranya lebih ramai parti politik, individu atau mana-mana badan menggesa kami (supaya menunaikan janji dalam manifesto) dalam tempoh 100 hari atau setahun atau dua tahun, itu lebih baik.

“Begitu juga apabila kami atau pembangkang membangkitkan isu-isu di Parlimen, rakyat lebih suka kerana semakin kerap isu tersebut dibincangkan, ia akan menjadi lebih penting.

“Jadi tolong ingatkan kami mengenai manifesto,” katanya yang juga merupakan salah seorang panelis dalam forum berkenaan.

Selain Tommy dan Kian Ming, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Hamdan dan Adun Subang Jaya, Michelle Eng turut dipanggil sebagai ahli panel forum berkenaan. Kesemuanya merupakan alumni LSE.

Ketika ditanya mengenai penggubalan Akta Pembiayaan Politik yang semakin “senyap” sedangkan ia merupakan salah satu manifesto Pakatan Harapan, Kian Ming menegaskan, kerajaan masih komited untuk menunaikannya.

Bagaimanapun, ia tidak mungkin dilaksanakan dalam tempoh terdekat kerana banyak lagi usul lain yang lebih penting perlu dibentangkan, katanya.-MalaysiaGazette