Mohamad Sabu
Gambar yang menunjukkan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu ketika hadir di satu majlis korban di Masjid Zainabiah, wilayah Patalong di selatan Thailand yang dikongsi oleh Ansor Lempan di Facebook

KUALA LUMPUR – Seorang pengguna laman sosial mempersoalkan tindakan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang berkunjung ke Masjid Zainabiah, wilayah Patalong di selatan Thailand.

Menerusi Facebook, Prof. Dr Rashid Zainuddin berkata, beliau ingin tahu langkah Mohamad hadir ke satu majlis korban yang diadakan di wilayah itu.

Menurutnya, wilayah yang dikunjungi Mohamad itu merupakan kubu kuat bagi penganut Syiah dan tegurannya itu bagi mengelak beliau daripada difitnah oleh puak berkenaan.

“Saya teringin untuk tahu, kenapa YB Menteri harus berada di Masjid Zainabiah, Wilayah Patalong selatan Thailand?

“Ini kubu kuat Syiah Thailand, bersama Ansor L, tokoh kuat Syiah Thailand.

mat sabu2

“Sebagai marhein, saya cuma berpesan agar YB berhati-hati dan berusaha menjauhi fitnah Syiah,” tulis beliau di ruangan posting.

Beberapa keping gambar yang menunjukkan Ahli Parlimen Kota Raja itu turut dimuat naik di laman sosial Dr Rashid.

Dr Rashid yang merupakan seorang pensyarah perubatan di Universiti Perubatan Antarabangsa Seremban berkongsi status yang dimuat naik oleh Ansor Lempan pada 24 Ogos lalu. – MalaysiaGazette