Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis Pelancaran Buku Anwar Return The Final Twist di Hilton Hotel, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 26 OGOS 2018
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) mendapat layanan yang teruk dalam penjara berbanding tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau yang bakal menjadi Presiden PKR bulan depan bagaimanapun tidak akan membiarkan kegiatan keganasan, militan atau perbuatan jenayah berlaku namun langkah pencegahan perlu menghormati proses sewajarnya.

“Dari apa yang saya perhatikan, SOSMA jauh lebih teruk dari segi melayan tahanan berbanding ISA.

“Memang sukar menentang tindakan pengganas. Tetapi kita mesti segera mengambil tindakan pemulihan.

“Mereka yang mogok mesti mempunyai perlindungan yang mencukupi hak mereka. Saya tidak akan berkompromi dalam isu kebebasan dan keadilan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas majlis pelancaran bukunya bertajuk Anwar Returns: The Final Twist di sini hari ini.

Semalam, Peguam Negara, Tommy Thomas menegaskan, SOSMA akan dimansuhkan seperti yang dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, walaupun terdapat bantahan berhubung pemansuhan tersebut, ia perlu dilakukan memandangkan undang-undang berkenaan bertentangan dengan prinsip keadilan sejagat.

SOSMA diwujudkan pada 22 Jun 2012 oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggantikan ISA yang dimansuhkan pada 15 September 2011 selepas ditubuhkan pada 1960.

Berbanding SOSMA, ISA mengenakan tindakan yang lebih tegas iaitu pesalah boleh ditahan polis selama 60 hari tanpa perbicaraan dan boleh dilanjutkan sehingga dua tahun dengan kebenaran Menteri Dalam Negeri.

SOSMA pula lebih menepati hak asasi manusia apabila pesalah ditahan dalam tempoh hanya 24 jam untuk penyia­satan dan boleh dilanjutkan tidak lebih 28 hari.

Ditanya sama ada SOSMA wajar dimansuhkan, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, undang-undang yang melawan pengganas atau pelaku tindakan pengganas harus diwujudkan.

“Sebagai contoh seseorang yang masih menanti rayuan, masih dipenjarakan.

“Saya rasa tindakan ini mungkin bukan rangka kerja undang-undang yang sah untuk negara yang bebas dan demokratik seperti Malaysia,” ujarnya.

Semalam, kira-kira 160 tahanan Sosma mengadakan mogok lapar sejak pukul 8 pagi di Penjara Sungai Buloh bagi mendesak kerajaan menghapuskan akta berkenaan. – MalaysiaGazette