Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 02 OGOS 2018.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong

KUALA LUMPUR – Mengakui wajahnya lebih mirip orang Melayu berbanding Cina, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim berpendapat keadaan itu memberi kelebihan kepadanya terutamanya dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

“Sebab muka inilah, orang Melayu tidak asing tentang saya apabila saya diajak untuk berceramah di kawasan orang Melayu.

“Mungkin mereka ingat saya ialah orang Melayu, penjawat awam juga mesra dengan saya,” katanya kepada Sinchew Daily.

Menurut Steven, di Pulau Pinang, orang ramai asyik bergurau mengenai muka dirinya dan seorang lagi pemimpin DAP, Zairil Khir Johari yang kini merupakan Exco negeri.

“Mereka akan bertanya mana satu ialah Steven dan mana satu ialah Zairil kerana Steven nampak seperti Melayu manakala muka Zairil nampak seperti Cina,” katanya.

Walau bagaimanapun, Steven yang menerima pendidikan Inggeris sejak kecil sedang berusaha untuk mempelajari bahasa Cina.

“Saya hanya mula bercakap bahasa Cina pada 2012. Pada masa itu, satu ‘ayat Cina’ saya adalah campuran 80 peratus Inggeris dan 20 peratus Cina.

“Pada akhir 2012, saya bersama-sama Zairil dan Lee Chun Kit, Ahli Dewan Undangan NegeriĀ  (ADUN) Pulau Tikus menggaji seorang guru untuk mengajar bahasa Cina. Selama enam bulan lamanya, kami menghabiskan dua jam seminggu untuk belajar bahasa ini,” katanya.

Memandangkan 80 peratus pengundi di Bukit Mertajam ialah Cina dan perlu menghadiri aktiviti tokong selepas terpilih sebagai Ahli Parlimen pada 2013, Steven semakin merasakan kepentingan bahasa Cina dalam karier politiknya.

“Pada pesta hantu lapar pada masa ini, saya perlu menghadiri majlis di Tokong setiap malam dan perlu memberi ucapan (dalam bahasa Cina),” katanya.

Ditanya wawasanya untuk Kementerian Belia dan Sukan, Steven berkata, beliau mahu melihat pentadbiran kewangan yang lebih telus untuk mengelakkan penyelewengan.

Beliau juga akan memperjuangkan supaya umur layak mengundi diturunkan kepada 18 tahun. – MalaysiaGazette