Jualan Perodua pada bulan Disember meningkat 11.5% kepada 22,940 unit daripada 20,299 kenderaan pada November 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Perodua menawarkan rebat tunai sebagai pampasan kepada 3,100 orang pelanggan yang gagal mendapatkan tempahan Myvi sebelum 1 September ini.

Tempahan yang dibuat sebelum 1 September adalah sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr Zahari Husin berkata, kakitangan Perodua akan menghubungi setiap pelanggan berkenaan.

Rebat itu ditawarkan susulan gangguan sementara pengeluaran Myvi baru.

“Kami ingin menawarkan rebat tunai kepada para pelanggan kami yang dihargai apabila kenderaan mereka didaftar nanti, sebagai pampasan di atas kesulitan yang dialami.

“Kami juga akan memaklumkan kepada mereka mengenai masa penghantaran Myvi mereka dari semasa ke semasa,” katanya.

Kadar GST disifarkan daripada 6 peratus sehingga penghujung Ogos ini telah meningkatkan permintaan ke atas model kereta itu.

Pembeli menuntut agar kenderaan mereka didaftarkan sebelum 1 September sebelum Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan semula.

Pada 20 Ogos lalu, Perodua telah mengumumkan pengeluaran model Myvi baru telah tergendala akibat gangguan bekalan daripada pihak pembekal.

“Kami dengan rendah diri ingin memohon maaf bukan sahaja kepada mereka yang tidak dapat menerima kenderaan mereka sebelum SST diperkenalkan semula, tetapi juga kepada semua pelanggan yang telah menempah Myvi selepas daripada itu, kerana gangguan pengeluaran akan menyebabkan penghantaran kenderaan tergendala.

Setakat ini, lebih daripada 68,000 Perodua Myvi telah diserahkan kepada pemiliknya daripada lebih 120,000 tempahan yang diterima sejak pelancarannya pada November 2017 lalu, menjadikan ia model terlaris Perodua sepanjang tahun setakat ini. – MalaysiaGazette