Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji permintaan syarikat penyedia perkhidmatan feri yang memohon agar tambang feri ke Langkawi dinaikkan bagi memastikan perkhidmatan lebih baik dapat diberikan kepada penumpang pada masa akan datang. 
Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji permintaan syarikat penyedia perkhidmatan feri yang memohon agar tambang feri ke Langkawi dinaikkan bagi memastikan perkhidmatan lebih baik dapat diberikan kepada penumpang pada masa akan datang. 

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju dengan cadangan kajian kebolehlaksanaan bagi projek pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, Klang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia merupakan cadangan projek besar yang diperlukan negara selepas dua pelabuhan sedia ada iaitu North Port dan West Port bakal mencapai kapasiti penuh pengendalian kontena dan kargo menjelang 2025.

Katanya, perancangan awal perlu dibuat untuk memastikan kapasiti pengendalian kargo berada pada tahap kompetitif dengan prasarana yang lebih baik dan besar.

“Ia adalah projek jangka panjang untuk 30 dan 50 tahun akan datang dan bukannya projek bersifat 5 atau 10 tahun dan cadangan itu dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet pagi ini.

“Walaupun ada syarikat swasta cenderung untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan ini, kerajaan berpendirian supaya kajian itu dijalankan oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang akan menanggung kos sepenuhnya.

“Maka kajian kebolehlaksanaan akan dilakukan di tanah yang dikenalpasti di Pulau Carey untuk menentukan sesuai atau tidak untuk dibangunkan sebagai pelabuhan,” katanya dalam sidang media pasca Kabinet.

Tambah beliau, kos pembangunannya akan ditanggung oleh syarikat konsesi yang bakal diberikan projek itu.

Justeru katanya, pihak kerajaan menerusi LPK akan melantik juru runding melalui proses tawaran permintaan untuk cadangan  (RFP) kepada syarikat-syarikat perunding yang bertauliah dan berkelayakan.

Katanya, kerajaan akan menilai dan melantik syarikat berpengalaman dan berkelayakan yang boleh menjalankan kajian tersebut yang merangkumi 16 jenis termasuk Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) untuk memastikan pulau itu sesuai untuk dibangunkan sebagai pelabuhan.

Menurutnya, kajian kebolehlaksanaan itu dijangka mengambil  masa setahun dan ia akan dibentang semula kepada Kabinet yang bertanggungjawab untuk memutuskan penawaran projek menerusi tender terbuka dan sebagainya.

“Saya sudah meminta LPK menyegerakan proses pelantikan syarikat konsesi menerusi RFP yang akan memakan masa tiga bulan dan kita boleh menjangkakan kajian kebolehlaksanaan itu boleh dimulakan pada November atau Disember ini.

“Sebelum ini MMC Corporation Berhad dicadang melaksanakan kajian itu tetapi kami berpendapat ia akan wujud keraguan dari segi ketelusan kajian itu.

“Sebab itu, kami mahu melakukan kajian itu dilakukan secara profesional, telus tanpa berat sebelah dan dalam perkara ini LPK relevan kerana cukup berpengalaman dalam kawal selia pembangunan pelabuhan,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan lama bekas Menteri Pengangkutan Liwo Tiong Lai bahawa projek itu akan dilabur syarikat China, Anthony menjelaskan setahu beliau tiada sebarang syarikat tertentu dari China komited dalam projek itu.

Malah, jelas beliau, pihaknya turut sedia maklum hasrat MMC terhadap projek berkenaan.

“Bagaimanapun buat masa sekarang, kerajaan akan memulakan kajian itu dulu dan kami bersedia mengguna pakai segala sumber sedia ada untuk menjalankan kajian tersebut.

“Kajian projek itu melibatkan tanah seluas 700 ekar daripada keseluruhan keluasan 30,000 ekar tanah pulau itu.

“Kita akan teliti projek itu perlu diteruskan di pulau itu atau tidak, sekiranya hasil kajian menampakkan impak kepada alam sekitar atau komuniti setempat yang akan diambil kira,” ujar beliau lagi.

Tambah Anthony, tiada sebarang kerja atau pembinaan akan dilaksanakan di tanah itu sehingga kajian selesai, sambil menegaskan kerajaan tidak akan mengumumkan anggaran kos kajian yang diperlukan.

Kata beliau, hasrat kerajaan baharu ialah mahukan syarikat yang boleh melaksanakan projek secara profesional dengan kos rendah.

“Kerajaan tidak berhasrat serahkan kerja kajian ini kepada syarikat tertentu kerana mahu elak tanggapan kami cenderung menawarkan kepada syarikat berkepentingan.

“Sebab itu kerajaan sendiri hendak membuat kajian itu menerusi LPK,” katanya sambil memberitahu pelabuhan ketiga itu mampu menampung kapasiti kontena dan kargo sekitar 30 juta TEU.

Ia bakal menjadi pelaburan strategik memandangkan Singapura sudah ada perancangan bina pelabuhan gergasi di Tuas. – MalaysiaGazette