Mohamed Hazlan Mohamed Hussain

KUALA LUMPUR – Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif baharu bagi Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana).

Beliau menggantikan Masnizam Hisham yang ditamatkan perkhidmatannya.

Menteri Kewangan berkata, Hazlan bertanggungjawab mentakrifkan halatuju yang baharu untuk Prasarana supaya pencapaian operasi Prasarana dalam sektor pengangkutan awam dapat dipertingkatkan.

Pada masa yang sama Hazlan juga mempunyai peranan yang besar untuk melaksanakan penstrukturan semula syarikat bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan untuk merekodkan tahap pembiayaan kewangan yang lebih berkesan dan mampan, kata Lim Guan Eng.

Hazlan mempunyai pengalaman yang luas serta rekod perkhidmatan dalam bidang pengangkutan awam, minyak dan gas, pos dan lebuhraya.

Beliau pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Pengarah Kumpulan dalam beberapa bahagian DRB-Hicom, Ketua Pegawai Operasi RapidKL, Ketua Pegawai Operasi Unit Strategik POS Malaysia Berhad dan Pengurus Besar Bahagian Operasi Plus Expressways.

Hazlan adalah pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan awam daripada Imperial College of Science and Technology, London pada tahun 1988. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast