Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (kiri) diiringi Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Paddy Abd Halim (kanan) bercakap pada sidang media mengenai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 03 SEPTEMBER 2018.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (kiri) diiringi Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Paddy Abd Halim (kanan) bercakap pada sidang media mengenai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 03 SEPTEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Jabatan Kastam DiRaja Malaysia membuat permohonan maaf secara terbuka ekoran terlepas pandang kerana meletakkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 10 peratus kepada ikan masin.

Ikan masin disifatkan antara makanan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Paddy Abdul Halim mengakui bukan sahaja terlepas pandang malah telah dinasihati oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sendiri selepas mendapat rungutan pelbagai pihak.

Jelas beliau, pihaknya tidak sengaja melakukan ‘kesilapan’ itu sehingga tidak mengecualikan makanan ruji ikan masin daripada dikenakan cukai SST 10 peratus.

“Pihak JKDM memohon maaf atas kesilapan ini dan akan mengeluarkan arahan serta merta bagi pengecualian ini dengan kadar segera. Para peniaga di minta utuk tidak mengutip SST untuk ikan masih berkuatkuasa serta merta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas anjuran Kementerian Kewangan yang turut dihadiri oleh Guan Eng hari ini.

Dalam pada itu, Guan Eng turut memberi jaminan semua produk udang dan ikan kering dikecualikan daripada SST sehingga kajian secara menyeluruh dijalankan dalam masa terdekat.

“Ada antara produk makanan laut ini diletakan di bawah kategori makanan mewah dan dikenakan SST, ini termasuk rungutan orang ramai tentang apabila makanan seperti nasi kandar dan char kuew teow juga naik harga.

“Ini kerana makanan seperti udang dan kerang. Ketika ini, kita membuat keputusan untuk melaksanakan pengecualian cukai untuk semua makanan-makanan ini sehingga kajian di jalankan dalam tempoh tiga bulan akan datang,” ujarnya.

Tambah Guan Eng lagi, kadar lima peratus yang dikatakan dikenakan terhadap produk makanan seperti ikan jeruk dan ikan kering atau ikan masin dalam kategori ikan dan hidupan laut adalah tidak benar.

“Jika ada sekalipun, semua itu kerana sudah terlepas pandang sahaja. Cukai itu adalah berdasarkan senarai cadangan sebelum ini. Kini, ada senarai baharu yang boleh disemak. Udang dan ikan kering adalah senarai barang dikecualikan SST,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Ikan kering, daging burger, ayam goreng dikenakan SST