LONDON – Burberry tidak akan lagi membakar barangan mewah yang tidak terjual untuk melindungi jenamanya selepas memusnahkan stok bernilai AS$40 juta tahun lalu.

Tindakan jenama itu dilihat satu pembaziran bagi industri fesyen.

Malah, Burberry memaklumkan ia tidak akan lagi menggunakan bulu haiwan untuk produk-produknya.

Pengumuman itu dibuat selepas pemilik Cartier dan Montblanc mengakui tindakan memusnahkan jam tangan yang tidak laku memberi kesan kepada alam sekitar, selain satu pembaziran.

“Kemewahan moden bermaksud bertanggungjawab secara sosial dan alam sekitar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Burberry, Marco Gobbetti.

Burberry adalah jenama mewah, kotnya sahaja dijual lebih 2,500 pound dan beg tangan berharga sehingga 1,500 pound.

Sejak beberapa tahun lalu, banyak peruncit telah dipanggil untuk memusnahkan stok yang tidak terjual, termasuk dengan memotong atau menebuk lubang pada pakaian sebelum membuangnya.

Barang yang tidak laku dimusnah Burberry adalah pada tahun kewangan hingga April.

Burberry secara fizikal memusnahkan barang bernilai 28.6 juta pound pada tahun kewangan hingga April lalu, meningkat daripada 26.9 juta pound pada tahun sebelumnya, termasuk produk kecantikan bernilai 10 juta pound seperti minyak wangi.

Produk-produk yang dimusnah itu adalah barangan yang tidak dijual dengan tawaran diskaun dan telah berusia lebih lima tahun.

Burberry berkata, syarikat itu akan menggunakan semula, membaiki, memberi sumbangan dan kitar semula produk yang tidak terjual bagi mengurangkan stok berlebihan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast