KUALA LUMPUR – Isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Samirah Muzaffar ditahan reman tiga hari lagi berhubung siasatan kes kematian suaminya, Nazrin Hassan pada 14 Jun lalu.

Polis berjaya mendapatkan perintah reman tiga hari lagi daripada Mahkamah Majistret Petaling Jaya sebentar tadi.

Wanita berusia 43 tahun itu ditahan di Taman Tun Dr Ismail, Petaling Jaya sekitar jam 2.15 pagi tadi pada 4 September lepas.

Bekas suami Samirah juga ditahan tetapi dibebaskan selepas itu.

Menurut peguam Samirah, LS Leonard yang bercakap dengan media, pihak polis telah memohon reman dilanjutkan kepada tujuh hari terhadap Samirah namun mendapat bantahan oleh pihaknya.

Samirah yang merupakan anak kepada Pengerusi Yayasan Perpaduan Malaysia Chandra Muzaffar kemudian dibenarkan dilanjutkan reman oleh Mahkamah Majistret Petaling selama tiga hari.

Majistret Nurulhuda Zakariya membenarkan pelanjutan reman itu selepas mendengar hujah polis dan peguam Samirah.

Nazrin dilapor meninggal dunia dalam satu kebakaran di kediamannya selepas sebuah telefon bimbit yang diletak sama ada di atas katil atau di sisi katil dipercayai meletup semasa sedang dicas semalaman.

Pada 3 Ogos lalu, kes kematian Nazrin diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, dua anak tiri Nazrin ditahan bagi membantu siasatan ke atas pembunuhan beliau, menurut polis Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata, remaja terbabit berumur 18 dan 14 tahun ditahan di Taman Tun Dr Ismail pada jam 4 petang.

Malay Mail Online sebelum ini melaporkan dua remaja itu ditahan selepas kesan tusukan yang ditemui pada leher Nazrin menyerupai kesan yang dihasilkan oleh anak panah. – MalaysiaGazette