KUALA LUMPUR – Padah melakukan aksi berbahaya, wheelie, di jalan raya, seorang lelaki ditahan dalam operasi samseng jalanan di Simpang Lima, Parit Sulong, Batu Pahat, Johor.
Menurut Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Batu Pahat, dalam operasi yang dilakukan awal pagi tadi, sebanyak 35 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Lelaki berkenaan dicekup kerana menunggang secara melulu dan menduga kelajuan sehingga membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain di lokasi yang sering menerima aduan berkaitan perlumbaan haram dan kegiatan berisiko di jalan raya.
“Suspek ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan membahayakan. Motosikal yang digunakan turut disita untuk siasatan.
“Sebanyak 10 motosikal lagi turut disita di bawah Seksyen 64(1) akta sama atas kesalahan tiada lesen memandu dan pengubahsuaian ekzos yang melampau,” katanya.
Sementara itu, polis mengingatkan orang awam supaya tidak melanggar undang-undang jalan raya, khususnya Seksyen 42(1) yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















