KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Maszlee Malik bertegas yang beliau masih dan akan sentiasa mengamalkan dasar keterbukaan seperti yang diperjuangkan sebelum ini.
Malah dirinya sentiasa berpegang teguh dengan pedekatan itu dan memelihara kebebasan bersuara mahasiswa selain juga autonomi universiti.
“Sekali lagi saya ingin mengulangi dasar terbuka saya dan juga kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini yang baru sahaja mengambil tampuk kuasa daripada kerajaan terdahulu.
“Pada masa yang sama, ingin saya tegaskan, saya kuat berpegang teguh dengan pendekatan saya untuk terus dan sentiasa memelihara kebebasan bersuara mahasiswa selain daripada autonomi universiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Maszlee mengulas laporan Malaysia Gazette hari ini yang memetik dakwaan aktivis pelajar, Asheeq Ali Sethi Alivi yang mendakwa Menteri Pendidikan itu hanya retorik dalam menonjol diri sebagai pemimpin terbuka.
Asheeq yang juga merupakan jurucakap kepada Gabungan Pembebasan Akademik IPT juga mendedahkan kumpulan aktivis pelajar cuba untuk berhubung dengan Maszlee selama hampir tiga bulan namun tidak berhasil.
“Kami cukup sedih dan kecewa dengan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik yang sebelum ini kami anggap sebagai seorang pemimpin yang sangat terbuka tetapi..
“Dasar pintu terbuka yang selalu menjadi laungan beliau sebelum ini namun nampaknya semua itu tidak benar.Kami cuba untuk bertemu dan bercakap dengan beliau sejak tiga bulan lepas tapi gagal untuk mengadakan sebarang perbincangan sebelum ini,” kata Asheeq.
Bagaimanapun, Maszlee memberi jaminan pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan kumpulan pelajar ini pada 12 September ini pada jam 6.30 petang seperti yang diaturkan oleh pegawainya pada 8 September lepas.
“Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk berhubung dengan wakil kumpulan ini yang mengadakan protes di Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu saudara Asheeq.
“Saya berharap perjumpaan ini dapat membuka ruang kepada mereka untuk bertemu dengan saya untuk memudahkan saya mendengar luahan mereka sendiri sebelum membuat apa-apa keputusan,” ujar beliau.
Pada Sabtu lepas, Asheeq, 23, bersama Siti Nurizzah Mohamad Tazali, 23, ditahan polis selepas enggan bersurai dari kawasan hadapan pagar masuk utama Parcel E, Putrajaya yang menempatkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pendidikan.
Asheeq dan Nuizzah mengadakan tunjuk perasaan bantah duduk, bersama tidak lebih 10 pelajar dari beberapa universiti di pejabat Kementerian Pendidikan sejak pukul 8 pagi pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Masing-masing juga menegaskan tidak akan sesekali berganjak sehingga Maszlee letak jawatan atau menolak pelantikan sebagai presiden UIAM.
Rata-rata mahasiswa ini juga mahu Maszlee mencontohi sikap yang ditonjolkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akur dengan janji PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan tidak menjadi Menteri Pendidikan apabila mendapat halangan segelintir pihak.
Mahathir akur dengan akujanji tersebut malah menghormati pandangan pelbagai pihak yang tidak mahu beliau menjawat jawatan tersebut, sebaliknya diberikan kepada Maszlee untuk menerajui kementerian tersebut. – MalaysiaGazette
http://malaysiagazette.com/blog/2018/09/10/dasar-pintu-terbuka-maszlee-malik-hanya-sekadar-retorik-aktivis-pelajar/