Datuk Amiruddin Hamzah
Amiruddin Hamzah

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) melahirkan rasa hairan dengan dakwaan janji manifesto pihaknya berikrar akan menurunkan harga minyak sehingga RM1.50 seliter untuk RON95.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan,  Datuk Ir. Amiruddin Hamzah, pihaknya sehingga kini masih lagi ‘tercari-cari’ di manakah sebenarnya intipati manifesto PH yang menjanjikan penurunan sehingga paras RM1.50 itu.

Kata Amiruddin, beliau tidak pasti seandainya ada pihak yang begitu ‘ghairah ketika kempen pilihan raya sehingga melakukan akujanji seperti itu namun setakat ini ianya tidak termaktub dalam manifesto PH.

“Sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak, kita masih lagi tercari-cari dimanakah janji seperti itu dilakukan oleh kami seandainya menang PRU.

“Dalam buku manifesto memang tidak ada janji seperti itu yang didakwa oleh segelintir pihak, saya tidak pati pula sekiranya ada yang begitu ghairah sehingga berkempen menjanjikan RM1.50 kepada rakyat tetapi ingin saya tegaskan, ianya tiada dalam buku manifesto,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Datuk Ng Chiang Chin yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan subsidi minyak telah dibelanjakan untuk menstabilkan haraga minya RON95, RON97 dan Diesel sejak Mei 2018.

Chiang juga mohon pencerahan seandainya kerajaan merancang untuk menurunkan harga minyak ke RM1.50 sebagaimana yang ‘dijanjikan’ dalam Manifesto PH pada masa akan datang.

Tambah Amiruddin, ketika ini kerajaan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menurunkan harga sehingga paras RM1.50 melainkan harga minyak mentah dunia turun mendadak pada bila-bila masa.

“Jumlah subsidi petrol RON95 dan diesel yang ditanggung kerajaan bagi tempoh Mei sehingga 2018 adalah sebanyak RM1.667 bilion. Kita masih lagi kekal harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing pada paras RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter.

“Pada masa yang sama, kita akan kekalkan harga ini walaupun harga pasaran lebih tinggi berikutan komitmen kerajaan PH untuk utamakan kesejahteraan rakyat daripada sasaran semata-mata meningkatkan hasil kerajaan.

“Kita ambil maklum beban terutamanya golongan B40. Manakala harga runcit bagi produk RON97 telah diapungkan semula berdasarkan penetapan harga secara mingguan mengikut harga minyak mentah dunia kerana produk ini mampu ditanggung oleh golongan berada,” ujarnya.

Sejak akhir-akhir ini, ada sesetengah pihak mendakwa HARAPAN menjanjikan harga minyak turun jika mereka berjaya menawan Putrajaya.

Bagaimanapun berdasarkan manifesto yang dikemukakan HARAPAN ikrar yang dibuat ialah menstabilkan harga bahan bakar itu serta memperkenalkan semula skim subsidi bersasar.

Sebuah klip video yang ditularkan pula memaparkan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berjanji bahawa harga minyak akan diturunkan sehari selepas gabungan pembangkang menawan Putrajaya.

Namun ia diragui kerana klip itu dipercayai dibuat sebelum PRU ke-13 pad 2013 lalu kerana Rafizi merujuk gabungan pembangkang sebagai Pakatan Rakyat. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast