Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S. A. Vigneswaran.

KUALA LUMPUR – Tidak timbul persoalan ada unsur sabotaj apabila Dewan Negara membuat keputusan untuk menolak sesuatu usul Rang Undang-Undang (RUU), kata Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran.

Menurut beliau,  ini bukan kali pertama Dewan Negara menolak sesuatu usul yang dibawa oleh kerajaan.

Jelas beliau, perkara sama pernah berlaku pada tahun 2004 melibatkan pindaan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Racun Makhluk Perosak.

“Ini merupakan kali kedua Dewan Negara menolak usul. Sebelum ini pindaan Rang Undang-Undang Racun Makhluk Perosak pernah ditolak, kemudian dibawa semula ke Dewan Rakyat dan selepas itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen.

Beliau mengulas keputusan Dewan Negara menolak usul pemansuhan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 selepas dibacakan buat kali kedua.

Keputusan menolak pemansuhan rang undang-undang itu dibuat hasil undi belah bagian oleh ahli-ahli Dewan Negara.

Undi belah bagian tersebut menunjukkan 28 ahli Dewan Negara menolak pemansuhannya, manakala hanya 21 yang menyokong dan tiga lagi tidak mengundi.

Undi tersebut yang diusulkan oleh Senator Khairul Azwan Harun dan perkara itu dipersetujui Vigneswaran selepas usul berkenaan disokong lebih daripada lapan senator dalam kalangan BN.

Penolakan itu juga menyebabkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin mendakwa Ahli Dewan Negara Barisan Nasional (BN) mahu memalukan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Mengikut komposisi ahli Dewan Negara, daripada 68 senator hanya 18 mewakili komponen Pakatan Harapan berbanding 33 wakil Barisan Nasional iaitu 24 UMNO, enam MCA dan tiga lagi MIC.

Tiga senator mewakili Pas, Gerakan (dua), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (dua) manakala Parti Demokratik Progresif Sarawak, Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia, Parti Liberal Demokratik, Parti Bersatu Sabah, Parti Warisan Sabah dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazan Dusun Murut masing-masing seorang wakil.

Empat lagi senator pula mewakili masyarakat Siam, Orang Asli, orang kurang upaya (OKU) dan Hindraf. – MalaysiaGazette