Levi sebanyak RM10,000 setahun itu berganda-ganda lebih mahal berbanding kadar cukai kepala tertinggi semasa iaitu RM1,850. - foto hiasan
KUALA LUMPUR – Walau mengalu-alukan dasar kerajaan untuk melanjutkan sebanyak tiga tahun pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sudah mencapai tempoh pekerjaan maksimum 10 tahun di Malaysia, para majikan bagaimanapun terkejut dengan cukai kepala yang terlampau tinggi.

Levi sebanyak RM10,000 setahun itu berganda-ganda lebih mahal berbanding kadar cukai kepala tertinggi semasa iaitu RM1,850.

Cukai kepala yang berharga RM10,000 setahun untuk setiap pekerja asing dilihat sebagai tidak logik buat perusahaan kecil sederhana (PKS) dan juga syarikat besar.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, tindakan kerajaan mengenakan cukai terlampau tinggi menunjukkan ia tidak ikhlas membantu majikan.

“Kerajaan kata mahu mengekalkan pekerja mahir, tetapi pada masa yang sama menaikkan cukai kepala.

“Kesimpulannya, majikan lebih banyak terkejut dengan kadar cukai ini berbanding bergembira dengan langkah kerajaan yang membenarkan tempoh perkhidmatan pekerja asing dilanjutkan,” katanya kepada China Press.

Jelasnya, walaupun langkah perlanjutan tempoh perkhidmatan membolehkan majikan mengekalkan pekerja mahir, tetapi majikan pelbagai skala dijangka tidak mampu menanggung kos yang terlampau tinggi untuk berbuat demikian.

“Cukai kepala pada RM10,000 setahun adalah kira-kira 85 peratus daripada gaji pekerja asing. Majikan dalam sektor perladangan pasti berdepan masalah.

“Dalam sektor perladangan, cukai kepala pekerja asing yang ditanggung  hanyalah RM650, manakala kadar untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan ialah RM1,850,” katanya.

Presiden Persekutuan Petani-Petani Sayur, Tan Su Tiok pula berkata, kadar cukai kepala yang mencecah RM10,000 adalah sukar diterima.

“Cukai kepala untuk sektor pertanian pada masa ini hanyalah RM640,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast