Maria Chin Abdullah
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah (kiri) meluangkan masa melawat gerai pameran pada majlis Pelancaran Pejabat Bergerak Parlimen Petaling Jaya di Dewan MBPJ, Taman Sri Manja, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 15 SEPTEMBER 2018.

PETALING JAYA – Pakatan Harapan akan memastikan nepotisme tidak akan berlaku dalam pentadbiran kerajaan semasa, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

Jelasnya, kerajaan persekutuan akan sentiasa memantau perkembangan semasa untuk mengelakkan berlakunya budaya nepotisme.

“Untuk nepotisme kita maklum, dan kita perlu memantau supaya tidak berlaku,” katanya.

Terdahulu beliau diminta mengulas kenyataan bekas Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenivasan yang melihat Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson akan membuka ruang yang besar untuk mewujudkan bibit-bibit nepotisme.

Jelas Ambiga yang kini ahli Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC), tindakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding kerusi Parlimen Port Dickson tidak seharusnya terjadi apabila isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak perempuannya, Nurul Izzah merupakan anggota Parlimen.

Sebaliknya menurut beliau, sama ada Wan Azizah atau Nurul Izzah perlu melepaskan kerusi masing-masing untuk memberikan laluan kepada Anwar.

Maria berkata, Anwar berhak bertanding kerana melalui sistem demokrasi. – MalaysiaGazette