Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kekukuhan ekonomi negara bersandarkan kepada lapan faktor iaitu pertumbuhan yang mantap dan stabil.
KLCC mercu tanda Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Di sebalik prospek ekonomi global yang suram, pelabur asing masih melihat Malaysia sebagai detinasi pelaburan yang menguntungkan, terima kasih kepada landskap politik negara yang stabil dan harga tenaga yang kukuh.

Ketua Penyelidik Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee berkata, sentimen yang positif ini muncul semula kerana ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China sudah berkurangan.

Pelabur pada masa ini lebih berharap bahawa kedua-dua kuasa ekonomi itu akan menyelesaikan isu tarif berikutan rundingan perdagangan baharu antara kedua-dua pihak.

“Ini bukan sahaja jelas di pasaran saham tempatan tetapi juga dilihat melalui prestasi yang positif Wall Street dan pasaran saham serantau,” katanya kepada Bernama.

Pada Khamis, pelabur asing berjumlah 31.0 peratus daripada jumlah penyertaan dagangan, sementara institusi adalah sehingga 49.7 peratus manakala selebihnya adalah pelabur runcit.

Dagangan pada hari berkenaan menyaksikan kemasukan bersih asing sebanyak RM174.7 juta manakala belian sebanyak RM907.5 juta sementara jualan adalah RM732.8 juta.

Berbanding Khamis minggu lepas, belian asing berjumlah RM616.6 juta manakala jualan berjumlah RM406.9 juta, menjadikan bersih RM209.7 juta ke dalam pasaran.

Di peringkat tempatan, Yee menyokong maklum balas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, yang mengatakan Malaysia dapat mengekalkan pertumbuhan ekonomi tahunan sebanyak lima peratus di sebalik cabaran yang dihadapi.

“Ini seharusnya merangsang keyakinan pelabur untuk kembali semula dan terus melabur di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata aliran keluar dana asing tahun sehingga kini direkodkan sebanyak RM9 bilion.

“Walaupun penyertaan asing di pasaran ekuiti tempatan secara relatifnya kecil pada 31.9 peratus, kami berharap jualan (ekuiti) akan terus berkurangan memandangkan asas ekonomi dan politik kita kekal kukuh.

“Kita berharap bahawa pusingan ketiga tarif yang akan dikenakan untuk tambahan US$200 bilion nilai barangan China oleh AS tidak akan berlaku kerana ini akan menyebabkan negara yang mempunyai perdagangan terus seperti Korea Selatan, Taiwan dan Malaysia akan mendapat kesan negatif, justeru menghalang pertumbuhan ekonomi.

“Bagaimanapun, jika keputusan yang tidak baik diambil, mata wang kita dan pasaran baharu muncul lain akan mendapat kesan,” katanya.

Untuk masa hadapan, Nazri menjangkakan aliran dana daripada pelabur asing akan berterusan meningkat minggu depan berikutan prospek ekonomi yang stabil dan harga minyak yang kukuh.

“Ringgit juga akan meningkat yang disokong oleh harga minyak yang lebih tinggi,” katanya.

Seorang lagi penganalisa, Ketua Penyelidik MIDF, Mohd Redza Abdul Rahman, berkata mata wang utama termasuk ringgit kukuh pada Jumaat sementara indeks dolar susut.

Katanya, perkembangan global baru-baru ini, sudah tentu mempengaruhi pergerakan mata wang seperti keputusan monetari oleh Bank Pusat Eropah, Bank of England dan sudah tentunya Bank Negara Turki.

“Berbanding mata wang utama serantau, adalah jelas benar bahawa di sebalik kelemahan mata wang utama berbanding dolar US, ringgit yang susut paling kurang dengan magnitud -1.8 peratus berbanding mata wang lain seperti rupiah (-8.0 peratus), Renminbi (-6.0 peratus) dan dolar Singapura (-3.0 peratus).

“Terima kasih kerana pengambil alihan kerajaan yang lancar selepas pilihan raya umum, selain prestasi ekonomi yang baik,” katanya.

Mohd Redza berkata, ringgit mungkin menguji tahap 4.12 minggu depan, dibantu oleh harga komoditi yang kukuh dan petunjuk makro seperti Indeks Harga Pengguna untuk Ogos yang akan dikeluarkan minggu depan.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ringgit pada masa di bawah nilai, yang disebabkan oleh pelbagai faktor luaran, antaranya perang perdagangan AS-China yang menyebabkan prestasi ekonomi yang lemah untuk beberapa negara.

“Kesemua mata wang di seluruh dunia mengalami penyusutan,” katanya dan menambah bahawa peso Argentina dan Lira Tuki juga mendapat kesan.

Lim pula berkata, prestasi ringgit berbanding dolar US adalah yang terbaik berbanding mata wang utama dunia di sebalik peralihan kuasa baru-baru ini dan faktor luaran yang lemah.

Katanya, sejak hujung 2017, nilai ringgit berbanding dolar US hanya susut 2.2 peratus sehingga 11 September.

Berhubung perkembangan di sektor korporat, syarikat perladangan Malaysia, FGV Holdings Bhd, menjadi tajuk perbualan minggu ini kerana Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zakaria Arshad, digantung daripada tugasnya pada 12 September 2018.

FGV, dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, notis siasatan dikeluarkan kepada Zakaria susulan berakhirnya siasatan dalaman ke atas 10 isu kritikal yang menyebabkan kerugian kewangan kepada FGV dan pemegang sahamnya.

Dilaporkan bahawa, tujuh daripada isu ini berkaitan dengan unit FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd, berhubung kelewatan bayaran dan penghantaran barangan membabitkan pelanggan yang berpangkalan di Afghanistan, Safitex Trading LLC.

Penggantung Zakaria dibuat sebaik Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) menarik balik pencalonannya sebagai pengarah lantikan kerajaan di syarikat pengeluar minyak sawit mentah terbesar dunia itu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, FGV berkata, penamatan sebagai lembaga pengarah berkuat kuasa sebaik syarikat berkenaan menerima surat daripada MoF Inc, pemegang saham khas FGV pada 12 September 2018, menarik balik pencalonananya terhadap Zakaria sebagai pengarah lantikan kerajaan, dalam melaksanakan perlembagaan baharu FGV, yang diluluskan oleh pemegang sahamnya pada 28 Jun 2018.

“Penamaatan itu selaras dengan Klausa 89(3) perlembagaan baharu FGV,” kata makluman itu.

Mengulas perkara ini, Penganalisis Perladangan Public Investment Bank, Chong Hoe Leong, berkata adalah lebih baik sekiranya syarikat berkenaan dapat menyelesaikan isu terbabit secepat mungkin.

“Saya berpendapat keadaan itu tidak akan memberi banyak kesan ke atas operasi syarikat. Ia adalah syarikat berkaitan kerajaan, oleh itu sebarang perubahan dalam landskap politik akan memberi sedikit kesan kepada syarikat itu sendiri,” katanya.

Pada Jumaat, saham FGV ditutup pada RM1.55 dengan 2.49 juta bertukar tangan. – MalaysiaGazette