KUALA LUMPUR – Diduga dengan pemergian insan tersayang memang suatu pengalaman yang sangat memeritkan.
Apatah lagi apabila insan itu adalah seorang wanita bernama ibu yang melahirkan, membesarkan, mendidik dan sentiasa mendoakan kesejahteraan anaknya.
Bagai hilang syurga dunia, bagai hilang kunci keberkatan.
Seumpama kata pepatah ‘Apabila tertutupnya mata ibu kamu, maka hilanglah satu keberkatan hidup, iaitu doa seorang ibu’.
Begitulah tema yang cuba diangkat dalam Rampas, single terbaharu daripada band popular tempatan, Akim & The Majistret (ATM) yang dilancarkan baru-baru ini.
Bagai menggambarkan jeritan batin penyanyi band itu sendiri, Akim Ahmad yang kehilangan ibu tercinta pada Mei lalu, lagu berkenaan bercerita tentang peritnya kehilangan, pengalaman pahit yang menginsafi diri dan mengajar erti redha.
Bait-bait lirik dalam Rampas juga seolah-olah cuba menterjemahkan apa yang dilalui oleh Akim.
Penyampaian Akim yang sarat dengan emosi dalam melagukan setiap patah kata diiringi dengan gubahan muzik yang cukup dinamik menyerlahkan lagi elemen melankolik yang mampu meresap ke dalam jiwa dan menghantui halwa telinga pendengar.
Rampas membawa konsep pop rock balada sama seperti lagu hit terdahulu seperti Potret dan Mewangi, ATM tetap mengekalkan bunyi khas mereka namun permainan instrumen di dalam lagu ini diberi kelainan dengan suntikan elemen muzik retro.
Rampas merupakan karya ciptaan Akim Ahmad dan Zimi yang masing-masing menggunakan nama pena, Hang Nadim dan Laq manakala lirik pula ditulis oleh Stacy Anam bawah nama pena, Bunga Cantik.
Ianya diterbitkan oleh Rhythm & Rhyme Entertainment, syarikat rakaman milik Akim dan Stacy dengan kerjasama Nova Music Malaysia sebagai pengedar. – MalaysiaGazette