KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara sinis hari mendedahkan dirinya sangat ‘terkejut’ dengan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai ekonomi Malaysia.
Menurut Najib yang pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan sebelum ini berkata dirinya tidak menyangka Guan Eng akan membuat pengakuan ekonomi Malaysia masih kukuh dengan memberikan lapan sebab membuktikan teorinya.
Jelas Najib, sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), tidak ada seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mengatakan sebaliknya.
“Yang ada ketika itu, hanya Guan Eng memuji ekonomi Pulau Pinang kukuh tetapi pada masa yang sama berterusan menuduh Malaysia akan ‘bankrap’, rakyat akan menganggur walaupun Pulau Pinang masih lagi sebahagian dari negara ini.
“Saya juga ingat pegawai khas Guan Eng iaitu Tony Pua ‘harga barang akan turun dengan SST’ pernah mengeluarkan kenyataan media dua tahun dahulu kononnya Malaysia sudah hilang daya saing dan tiada lagi negara asing hendak mengimport produk hasil Malaysia biarpun eksport negara naik berpuluh peratus setiap bulan pada masa itu,” sindir Najib.
Najib mengulas kenyataan Guan Eng hari ini yang mengakui walaupun Malaysia menghadapi pelbagai cabaran, ekonomi negara secara asasnya kukuh dan mempunyai daya tahan yang tinggi.
Kata Guan Eng, pertumbuhan ekonomi negara dijangka berkembang sekitar 5 peratus tahun ini, sekaligus menjadi negara yang pesat membangun di rantau ini.
Tambah Najib dalam coretan Facebook beliau, sudah tiba masa untuk kerajaan Pusat yang diterajui oleh Pakatan Rakyat untuk membuat pengakuan mereka ketika pembangkang telah ‘menipu’ rakyat Malaysia selama ini.
“Sudah sampai masanya untuk Pakatan mengakui bahawa mereka telah menipu satu Malaysia dan mengakui hakikat bahawa kerajaan BN telah mewariskan sebuah negara dengan ekonomi yang kuat dan kukuh dengan kadar pertumbuhan KDNK yang antara tertinggi di dunia kepada kerajaan PH.
“Jika ekonomi Malaysia akan terus kukuh pada masa atau tidak kini bergantung sepenuhnya pada pengendalian Guan Eng dan kerajaan PH. Kita doakan yang terbaik,” tegasnya. – Malaysia Gazette
Baca Selanjutnya:
Lim Guan Eng akui ekonomi negara kukuh dan berdaya tahan
Guan Eng tidak perlu defensif sampai buat kenyataan pun salah
RM450 juta: Adakah menteri kewangan ‘main hantam’ lagi, kata Najib