Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menegaskan baki akhir untuk Akaun Hasil Disatukan setiap bulan tidak pernah kurang dari RM18 bilion sehingga RM20 bilion.

Malah, penjawat-penjawat awam yang terlibat dalam proses pengurusan aliran wang akan memastikan ada dana yang cukup sebagai penampan sekurang-kurangnya untuk dua bulan bagi membayar gaji dan pencen semua penjawat awam.

Oleh yang demikian, bekas Perdana Menteri berkata, adalah mustahil bahawa baki Akaun Hasil Disatukan hanya RM450 juta pada akhir bulan April 2018 seperti didakwa Lim Guan Eng semalam.

Jelas Najib lagi, mengikut penyata akaun kerajaan dari Akauntan Negara Malaysia bagi akhir tahun 2017 yang diterbit dan diumumkan secara awam, baki Akaun Hasil Disatukan bukan RM11.41 bilion seperti dituduh oleh Menteri Kewangan itu.

Tetapi jumlahnya ialah RM18.064 bilion dalam bentuk wang tunai dan simpanan tetap jangka pendek.

Perkara itu boleh dirujuk melalui laman sesawang:

http://www.anm.gov.my/images/ArkibMedia/Penyata-Kewangan-Kerajaan-Persekutuan/PENYATA%20KEWANGAN%20KERAJAAN%20PERSEKUTUAN%202017.pdf

“Penyata kewangan kerajaan bulanan disiapkan pada 15 hari bulan. Misalnya bagi bulan April, penyata disiapkan pada 15 Mei, di mana kerajaan sudah diambil alih oleh PH.

“Oleh itu, saya tidak pernah melihat penyata untuk bulan April dan ‘amat terkejut’ dengan tuduhan Lim Guan Eng bahawa baki Akaun Hasil Disatukan pada akhir bulan April hanya RM450 juta,” tambah Najib.

Menurut beliau lagi, setiap bulan ada aliran wang masuk dari Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan dan beberapa sumber lain.

“Oleh itu baki RM450 juta ini juga langsung tidak masuk akal,” katanya.

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, walaupun penyata akaun bulanan ini tidak didedahkan secara awam dan beliau tidak boleh lagi meminta untuk merujuk kepada penyata-penyata ini tetapi pada pengetahuannya, baki untuk akhir bulan Mac 2018 juga disekitar RM18 bilion.

“Mustahil untuk baki ini turun dari RM18 bilion kepada RM450 juta pada bulan April sahaja.

“Adakah Menteri Kewangan juga “main hantam” lagi bila membuat tuduhan yang begitu mengejutkan ini sekadar untuk mengelak daripada mengadakan siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) tentang “rompakan” RM35 billion wang GST dan LHDN seperti yang saya berulang kali meminta untuk mencari kebenaran siapa sebenarnya yang tipu?,” soalnya.

Tambahnya, kesemua pengaliran masuk atau keluar wang dari akaun kerajaan akan dicatat dan ada buktinya.

Jikalau menteri kewangan tegas dalam pendirian baki pada penghujung bulan April telah jatuh kepada RM450 juta, sudah tentu beliau boleh merujuk kepada pengaliran-pengaliran wang ini dan tidak perlu tanya beliau ke mana wang itu pergi.

“Adalah tidak adil untuk membuat tuduhan-tuduhan begini kepada kerajaan BN yang dulu dalam keadaan kita tidak lagi boleh memantau dan merujuk kepada penyata-penyata bulanan terutama bagi bulan April,” katanya.

Lantaran itu, Najib meminta kerjasama Kementerian Kewangan untuk mendedahkan secara umum maklumat-maklumat tentang keseluruhan akaun dari Januari hingga Julai.

Kenyataan panjang oleh Najib itu dibuat susulan dakwaan Guan Eng yang mendakwa Tabung Hasil Disatukan hanya RM450 juta semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pada 9 Mei lalu.

Dakwa Guan Eng, jumlah baki wang Akaun Hasil Yang Disatukan itu susut berbanding RM11.86 bilion setakat 31 Disember 2017. – MalaysiaGazette