Meng Chen (kanan) bergembira menyambut kemeriahan Syawal dalam Program Raya IntellectXchange Pascasiswazah 2024.

SINTOK – Hari raya menjadi platform untuk bersama-sama menghormati kewujudan kepelbagaian bangsa dan agama yang terjalin di negara kita sejak dahulu lagi, di samping menarik perhatian pelajar antarabangsa.

Untuk itu, Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) dengan kerjasama dengan Pusat Budaya dan Seni (PBS) meraikan pelajar pascasiswazah antarabangsa dari negara China dalam Program Raya IntellectXchange Pascasiswazah 2024.

Pelajar, Meng Chen teruja dapat bersama-sama meraikan kemeriahan Syawal bersama rakan-rakan yang sentiasa menceritakan keunikan yang terdapat di Malaysia.

Beliau menyifatkan program ini amat baik dalam memberi pendedahan tentang adat dan budaya Malaysia yang harmoni.

“Saya seronok dapat meneroka kepelbagaian budaya di sini selain menikmati makanan yang lazat sempena musim perayaan,” ujarnya.

Majlis santai ilmiah dan sambutan Hari Raya Aidilfitri ini diserikan lagi dengan kehadiran Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan.

Dekan SCIMPA, Prof. Madya Ts. Dr. Adzrool Idzwan Ismail berkata, program ini memberi pendedahan budaya Malaysia terutamanya berkenaan sambutan Syawal kepada pelajar antarabangsa, sekali gus mentakrifkan negara kita, Malaysia yang berbilang bangsa dengan mengekalkan toleransi antara kaum dan saling menghormati antara satu sama lain.

“Program unik ini merangkumi intipati sambutan Hari Raya Aidilfitri di samping memfokuskan betapa pentingnya kecemerlangan akademik dalam erti kata lain menganyam bersama-sama kekayaan warisan budaya kita dengan usaha pertumbuhan intelektual.

“Program ini sebagai bukti komitmen kami terhadap kedua-duanya iaitu perayaan kebudayaan dan kemajuan akademik.

“Usaha ini juga memberi nilai tambah kepada para tetamu dalam bentuk pengkongsian motivasi dan inspirasi seperti TED-TALK dari pelajar siswazah, pascasiswazah dan penggiat industri kreatif Malaysia,” ujarnya.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua kakitangan dan pelajar yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Dalam menghayati erti Syawal yang mulia ini dan berkongsi rezeki, program ini turut berpeluang menyalurkan sumbangan berbentuk wang tunai dan peranti ‘tablet’ kepada pelajar sarjana muda B40 yang terpilih.

Menambah seri majlis, tetamu dihidangkan dengan persembahan oleh staf dan pelajar SCIMPA, artis dari PBS, UUM dan penyanyi serta komposer terkenal, Dakmie. – MalaysiaGazette