KUALA LUMPUR – Seramai 270 anak Mas Gading menerima Insentif Sambung Belajar Anak Mas Gading 2026 membabitkan peruntukan keseluruhan RM135,000 tahun ini.
Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol berkata, program yang kini memasuki tahun kelima itu diharap dapat membantu meringankan sebahagian kos pengajian khususnya pada peringkat awal pengajian penerima.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu turut berharap program berkenaan dapat dikembangkan menjadi Karnival Belia Mas Gading pada masa akan datang, sekali gus menyediakan platform yang lebih menyeluruh untuk golongan muda.
“Karnival tersebut bukan sekadar menjadi majlis penyerahan insentif tetapi menghimpunkan institusi pendidikan, agensi kerajaan, pemain industri, usahawan dan komuniti bagi menyediakan maklumat berkaitan pendidikan, latihan kemahiran, kerjaya, keusahawanan, teknologi, sukan serta peluang pembangunan diri.
“Anak muda boleh berinteraksi secara langsung dengan pihak yang menawarkan peluang tersebut sebelum menentukan hala tuju masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Mordi, golongan muda juga perlu lebih berhati-hati ketika memilih institusi, kursus atau program pengajian berikutan terdapat pelbagai tawaran pendidikan dan latihan kemahiran yang menjanjikan peluang pekerjaan serta pendapatan lumayan.
Jelasnya, mereka perlu menyemak jumlah keseluruhan yuran, kos tambahan, pengiktirafan program, kandungan kursus dan peluang selepas tamat pengajian sebelum membuat keputusan.
Beliau berkata, sokongan terhadap pendidikan tidak seharusnya terhenti pada pemberian insentif, sebaliknya perlu disertai akses kepada maklumat dan peluang supaya anak muda dapat membuat pilihan berdasarkan pengetahuan yang tepat.
“Dengan amanah di Kementerian Belia dan Sukan, saya mahu melihat lebih banyak ruang dibuka untuk anak muda mengenali peluang, membina kemahiran dan akhirnya mencipta peluang.
“Kita mahu anak-anak Mas Gading pergi jauh, tetapi apabila berjaya nanti, membawa kembali ilmu, pengalaman dan kepakaran untuk membantu membangunkan komuniti,” katanya.
Sementara itu, Mordi berkata majlis tersebut turut disusun atur oleh tiga pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sebagai salah satu tugasan akhir mereka ketika menjalani latihan industri di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Mas Gading.
Majlis turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah Bau Edward Ngelai, Timbalan Sektor Perancangan Pejabat Pendidikan Daerah Lundu Lim Long King, pengetua sekolah serta wakil sekolah dari kawasan Mas Gading. – MalaysiaGazette
















